RETAK MENANTI BELAH: BERSATU PERLU CERMIN DIRI, BUKAN TUDUH ORANG PEKAK!

 

Oleh: Ahmad Fadhli Shaari 

Ketua Penerangan PAS Pusat

Siapa Pekak?

1. Apabila kedengaran sayup-sayup di Melaka ada pemimpin BERSATU yang berkata bahawa pekaklah sesiapa yang menyatakan partinya tiada jentera, maka itu bermakna sudah tiada harapan untuk sebarang kerjasama harmoni lagi.

2. Bukanlah satu kesalahan jika sesebuah parti itu tiada jentera tambahan pula jika ia parti baru, tetapi yang menjadi masalah ialah kegagalan untuk mengakui kelemahan dan kekerdilan itu. Apabila penafian terhadap hakikat itu berlaku, tindakan yang akan lahir nanti berasaskan keyakinan diri sentiasa kuat, walhal hakikat yang jelas terpampang ialah sebaliknya.

3. Juga tiada masalah jika kekurangan jentera diikuti dengan usaha pemantapan parti. Tetapi jika dalam tempoh bertahun-tahun selepas pilihanraya asyik berantakan, ia bukan memantapkan parti. Ia hanya proses mempersiapkan penyokong peribadi untuk menjadi calon dan kemudiannya menunggang kekuatan parti kawan.

4. Kerana itu, pihak tersebut apabila bertanding lebih banyak kerusi dari kawan-kawan dalam gabungan, tetapi seringkali gagal menang lebih banyak. Ia terhasil dari kajian serta bacaan yang tidak tepat.

5. Maka jika menyatakan hakikat bahawa BERSATU ketiadaan jentera dikatakan pekak, tiada harapan lagi sebuah kerjasama harmoni selepas ini. Apatah lagi tindakan demi tindakan BERSATU kebelakangan ini pun dalam isu Perlis dan Negeri Sembilan boleh melahirkan kebimbangan apakah selepas PRU16 nanti akan ada pertimbangan secara bersendirian di dalam membentuk kerajaan persekutuan?

6. Justeru, secara peribadi saya cadangkan jalan yang terbaik ialah bergerak secara berasingan. Kita kekal berkawan, cuma bukan di pentas pilihanraya. Anda boleh mencari kawan politik yang lebih jelas pendengaran, lebih terang penglihatan dan lebih kuat deria bau.

Selamat Maju Jaya.

Post a Comment

0 Comments