KENAPA BARU SEKARANG PERTIKAI?
Oleh: Hafiz Mansor
Ketua Penyelidik Yayasan Kedah Sejahtera
Laporan Ketua Audit Negara
(LKAN) siri 3/2025 sudah terbit sejak penghujung tahun lalu. Tapi hari ini ada pihak baru mula nak buka baca LKAN tapi dah keluaq "fatwa" macam-macam.
Beberapa hari sebelum Hari Raya Haji, ada pihak buat tuduhan laporan daripada UPDA bertentangan dengan LKAN.
Bila disemak, rupanya pihak tersebut merujuk kepada Prestasi Kewangan keseluruhan Kerajaan Negeri yang menunjukkan Kedah mengalami defisit RM283 juta, tetapi pihak UPDA merujuk kepada lebihan semasa dalam Akaun Hasil Disatukan iaitu surplus RM11.16 juta.
Asasnya, kedua-dua ada dalam LKAN. Jadi, tuduhan asal kata UPDA tidak merujuk LKAN sudah tersasar.
Isunya di sini adalah UPDA merujuk kepada terma "defisit atau surplus negeri". Terma ni standardized merujuk kepada lebihan semasa bagi Akaun Hasil Disatukan.
Maksudnya, ia tidak digunakan oleh Kedah sahaja, tetapi negeri-negeri lain juga merujuk kepada lebihan semasa bagi Akaun Hasil Disatukan masing-masing untuk justify negeri tersebut surplus atau defisit bagi tahun tersebut.
Jadi, tak perlu kelirukan orang ramai kalau kita sendiri taktau.
Sama juga dalam konteks "hutang Kerajaan Persekutuan". Kalau ingat dulu era 2018, PH bermati-matian kata hutang Kerajaan Persekutuan sudah mencecah RM1.3 trilion, sedangkan bila disemak hutang awam hanya RM686 bilion.
Nilai RM1.3 trilion itu termasuk "Government guarantee". Itu sepatutnya tidak termasuk dalam maksud terma "hutang Kerajaan Persekutuan", tetapi biasalah PH. Semua diubah ikut selera sama macam kes yang ditujukan kepada UPDA.
Kita kena bezakan kerangka fiskal Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Negeri defisit tidak sama dengan defisit fiskal Kerajaan Persekutuan.
Kerajaan Persekutuan mempunyai cakupan hasil yang lebih luas. Perbelanjaan Mengurus adalah termasuk emolumen, pemberian wajib kepada Kerajaan Negeri, pembayaran hutang, subsidi dan sebagainya.
Perbelanjaan Pembangunan di bawah Kerajaan Persekutuan adalah melalui pinjaman (bon) dan hutang hanya boleh digunakan untuk menampung Perbelanjaan Pembangunan.
Apabila ada pinjaman, ia akan menyebabkan berlakunya defisit fiskal dan peningkatan hutang awam. Oleh sebab itu, defisit fiskal belanjawan negara turut merangkumi kedua-dua bentuk perbelanjaan (OE dan DE).
Soal defisit fiskal itu bagus atau tidak bagus itu isu yang lain, yang penting kita faham terma tersebut merujuk kepada apa.
Berbeza dengan Kerajaan Negeri, perbelanjaan pembangunan dipecahkan kepada 2 atau 3 mengikut negeri. Kalau Kedah ada 3 perbelanjaan pembangunan.
Pertama, pembangunan di bawah Kumpulan Wang Pembangunan. Terimaan di bawah tajuk ini adalah sebahagiannya daripada Akaun Hasil Disatukan dan pemberian TAHAP oleh Kerajaan Persekutuan.
Kedua, pembangunan bekalan air di bawah Kumpulan Wang Bekalan Air. Kedah menerima pinjaman daripada Persekutuan untuk pembangunan LRA khususnya pembinaan LRA Pelubang.
Ketiga, pembangunan hutan di bawah Kumpulan Wang Pembangunan Hutan. Setiap negeri menerima Ecological Fiscal Transfer (EFT) daripada Persekutuan untuk pembangunan hutan masing-masing.
Ketiga-tiga kumpulan wang pembangunan ini di bawah Akaun Amanah Disatukan negeri.
Kalau kita teliti, Kerajaan Negeri menerima pemberian wajib daripada Persekutuan untuk perbelanjaan pembangunannya. Kerajaan Negeri juga mempunyai ruang untuk membuat hutang dengan terhad.
Oleh sebab itu, defisit/surplus fiskal negeri tidak boleh disamakan dengan defisit/fiskal di peringkat Persekutuan.

0 Comments