𝐌𝐄𝐍𝐉𝐀𝐖𝐀𝐁 𝐊𝐄𝐓𝐀𝐇𝐘𝐔𝐋𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐅𝐈𝐓𝐍𝐀𝐇 𝐏𝐎𝐋𝐈𝐓𝐈𝐊 𝐁𝐄𝐑𝐒𝐀𝐓𝐔 𝐊𝐄 𝐀𝐓𝐀𝐒 𝐇𝐀𝐌𝐙𝐀𝐇 𝐙𝐀𝐈𝐍𝐔𝐃𝐃𝐈𝐍

 

Oleh: Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal

Ahli Parlimen Machang

Pertamanya, jutaan terima kasih kepada Datuk Dr. Marzuki. Selama ini saya hormati beliau seperti abang sendiri. Beliaulah yang banyak membimbing saya sejak zaman TSMY dalam UMNO lagi. Waktu saya baru tamat ijazah pertama pun beliau sudah libatkan saya dalam sesi mencambah minda untuk ucapan politik TSMY yang ketika itu adalah Timbalan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Saya antara segelintir yang berani datang menziarahi TSMY ketika saat paling gelap perjalanan politiknya selepas dipecat kerana jihad menentang skandal 1MDB. Tiada ramai yang berani bertemu dengan TSMY ketika itu. Saya tetap hadir menyokong kerana itu adalah kebenaran. 

Awal penglibatan saya dalam politik, saya masih bergelut mengimbangi idealisme akademik dengan realiti “political expediency” yang memang lumrah dunia siasah. Di situlah Dr. Marzuki selaku Ketua Setiausaha Sulit kepada YAB Perdana Menteri ke-8 menjadi tempat saya merujuk dan meminta nasihat. Satu pesanan beliau masih terpahat dalam ingatan saya sampai hari ini: "You are now a full-fledge politician, an office bearer, not a scholar. You should behave like one."

Tegasan itu seperti “baptism of fire” buat saya. Mesejnya jelas: berfikir dan bertindak sebagai ahli siasah adalah keutamaan dalam gelanggang. Idealisme kesarjanaan hanyalah kompas dalaman. Bukan untuk dipamer setiap masa di pentas politik.

Seperti mana-mana ahli politik lain, saya pun tidak sunyi daripada kesilapan. Tapi yang pastinya menyokong Datuk Seri Hamzah Zainuddin bukan satu kesilapan. Saya 100% yakin berdasarkan ilmu, pengetahuan langsung dan siasatan rapi saya sendiri bahawa menyokong, mendokong dan mempertahankan DS Hamzah selaku mantan Setiausaha Agung dan Timbalan Presiden BERSATU dan insya-Allah tidak lama lagi selaku Presiden parti baru kami adalah tindakan yang tepat dan selari dengan syarak dalam konteks memperkukuhkan perjuangan PN demi Agama, Bangsa dan Tanah Air. Jauh lebih tepat berbanding membuta tuli mengikut Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini sudah jelas tergelincir dari landasan moral dan prinsip yang selama ini beliau perjuangkan.

Saya berpegang kepada prinsip syarak: berkata benar, tepat dan jujur kepada pemimpin. Itulah yang telah saya sampaikan kepada Dr. Marzuki dan TSMY sendiri dalam beberapa pertemuan empat mata. Sebagai seorang Melayu dan Muslim saya sentiasa mendahulukan adab. Menegur pemimpin secara tertutup demi menjaga maruah mereka.

Namun tiba satu tahap apabila kezaliman tidak lagi boleh dibendung dengan bisikan. Apabila kezaliman itu mengancam maqasid politik Melayu-Islam Perikatan Nasional khususnya dalam menangkis bahaya liberalisme, pluralisme dan sekularisme yang dibawa rejim Madani maka saya bersama rakan-rakan seperti Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Datuk Wan Saiful Wan Jan, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Datuk Wira Mas Ermiyati dan ramai lagi tampil menzahirkan penentangan secara terbuka - itupun setelah kami nyatakan pandangan, kritikan, bantahan dan nasihat kepada TSMY tetapi hasilnya GAGAL. 

Kalau ada yang mencemuh kami sebagai tidak mengenang budi silakan. Itu hak kamu. Tapi fahamilah perbezaan antara pemerhati dari luar stadium dengan pemain di padang sebenar. Kami yang 19 ahli parlimen dan 20 ADUN menyokong DS Hamzah adalah bekas pemain utama BERSATU. Kami yang hadir mesyuarat, merangka strategi, membentuk dasar dan menguruskan parti hampir lima tahun lamanya. Bukan tukang sorak. Bukan anjing belaan. Dan jelas sekali bukan seperti Tun Faisal iaitu laskar upahan lidah bercabang yang tidak pernah sekalipun bersusah payah membangun parti mahupun memperkukuh kerjasama dalam PN khususnya bersama PAS.


𝐓𝐚𝐤𝐡𝐚𝐲𝐮𝐥 𝐌𝐞𝐫𝐞𝐤𝐚: 𝐇𝐚𝐦𝐳𝐚𝐡 𝐋𝐞𝐦𝐚𝐡, 𝐏𝐫𝐞𝐬𝐢𝐝𝐞𝐧 𝐊𝐨𝐧𝐨𝐧 𝐓𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐃𝐢𝐛𝐞𝐥𝐚

Izinkan saya selaku mantan Ketua Pemuda BERSATU dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU menjawab dan mematahkan tuduhan Dr. Marzuki satu per satu.

Dr. Marzuki mendakwa:

(a) Hamzah tiada kedudukan dalam BERSATU kerana TSMY yang melantiknya sebagai SUA.

(b) Hamzah menang jawatan Timbalan Presiden hanya kerana diberi laluan supaya pemimpin-pemimpin kaki mabuk, kaki cabul dan kaki suka dicabul dari belakang tidak dibenarkan bertanding.

(c) Muhyiddin mempunyai sokongan akar umbi yang kukuh.

Saya tidak tahu dari mana Dr. Marzuki mengorek "maklumat" bahawa DS Hamzah adalah pemimpin lemah yang tidak bantu Presiden. Fakta: Dr. Marzuki sama seperti TSMY tidak terlibat secara langsung dan kerap bersama dengan akar umbi BERSATU. Saya tidak pelik maklumat palsu dan separuh masak menjadi makanan buat mereka berdua ini kerana yang bertandang menyajikan itu hanya yang manis-manis dari mulut pengampu dan penjilat saja. 

Hakikat pahit yang suka atau tidak terpaksa ditelan oleh TSMY dan Dr. Marzuki: sebagai Presiden BERSATU, TSMY adalah pemimpin yang disifatkan akar umbi sebagai amat "sejuk" dan "tidak mesra." Lebih menyedihkan lagi TSMY tidak pun mengenali kesemua ahli parlimen dan ADUN BERSATU apatah lagi Ketua-Ketua Bahagian. Secara tabi'i apabila Presiden kerap hilang dari medan anak-anak buah sudah pasti merujuk Timbalan. Dan sebelum Hamzah jawatan Timbalan Presiden itu dijawat oleh insan yang berperangai seperti bahan lawak jenaka.

Ini bukan andaian. Ini fakta dan hakikat yang Dr. Marzuki gagal fahami kerana keberadaan anda yang lebih banyak dan selesa di Menara Gading berbanding turun ke medan. Anda dan bos anda langsung tidak mengerti denyut nadi akar umbi BERSATU.

Tentang dakwaan Hamzah "diberi laluan" untuk menang itu: hakikatnya Hamzah boleh menewaskan Faizal Azumu dengan mudah. Muhyiddin sendiri tahu Peja ini hanyalah bidak catur murahan yang cukup lemah untuk diratah Hamzah tapi masih berguna sebagai perisai murah; a useful and dispensable jester in Muhyiddin’s court. 

Kalau ikut hati pasti Muhyiddin mahu Azmin Ali turun gelanggang melawan Hamzah. Tapi syarat kelayakan dan realiti Azmin dalam BERSATU tidak memungkinkan itu. Saya berani nyatakan dengan lantang: Azmin tidak berani berhadapan Hamzah dalam perlawanan politik parti BERSATU. 

Azmin tahu apa yang Hamzah tahu tentang dirinya selaku mantan Menteri Dalam Negeri. Lagipun sokongan akar umbi BERSATU majoriti adalah bekas ahli UMNO bukan PKR. Dengan sifat Hamzah yang konservatif dan jauh lebih mesra menyantuni akar umbi berbanding Azmin maka kemenangan Hamzah itu bukan satu jangkaan lagi.

Muhyiddin adalah veteran politik. Walaupun jarang turun padang beliau masih boleh "rasa" suasana permainan. Beliau sedar sepenuhnya bahawa Hamzah adalah “a clear and present threat” kepada cita-citanya menjadi Perdana Menteri melalui PN. Saya telah nyatakan hujah saya secara terperinci kepada TSMY dalam pertemuan empat mata bahawa untuk beliau kembali menjadi Perdana Menteri adalah “untenable feat” - sesuatu yang amat-amat sukar kerana banyak faktor “sistemik” dan “institutional” yang benar-benar akan mengekang TSMY. Hamzah BUKAN faktor pengekang tersebut tapi para penjilat dan kuda trojan dan “kekasih gelap” Madani mencanang ego dan nafsu politik TSMY dengan angan-angan palsu dan Anwar Ibrahim pasti gembira melihat apa yang beliau harapkan sedang berlaku dengan rancak dalam PN ketika ini! 

Dalam setiap mesyuarat Majlis Tertinggi PN dan mesyuarat ahli-ahli parlimen PN terbukti jelas bahawa Hamzah dihormati dan disegani oleh seluruh kepimpinan PN khususnya daripada PAS.

Dan bukan rahsia lagi bahawa hubungan Hamzah dengan Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang iaitu Ayah Chik adalah amat rapat yang mana hubungan mereka wujud jauh lebih lama daripada kewujudan BERSATU dan PN itu sendiri. 

Saya dengan mata kepala dan telinga saya sendiri mendengar Ayah Chik bercerita dan mengakui peranan Hamzah dalam merencana dan merealisasikan peralihan kuasa kerajaan PH kepada kerajaan PN; dalam perancangan penamaan "Perikatan Nasional" dan dalam proses terbentuknya kerajaan PN secara nyata sebagaimana yang pernah dikisahkan oleh Datuk Wan Saiful Wan Jan dalam penulisan baru-baru ini.

Saya dan Datuk Wan Saiful bukan satu-satunya saksi hidup melibatkan banyak pendirian PAS tentang BERSATU dan TSMY. Naib Presiden BERSATU nombor wahid (terima kasih kepada DS Hamzah dan Dr. Ronald Kiandee yang memberi laluan kemenangan untuk Radzi Jidin kalau tidak dia pun akan tersungkur di kaki akar umbi dan Jabatan Pemilihan Parti, dibelit oleh konspirasi politik hant direstui Presiden untuk pertandingan Naib Presiden) - YB Dr. Radzi Jidin sendiri turut mengetahuinya secara hakiki akan keadaan hal ini. Beliau seharusnya tampil berkata benar kepada TSMY kerana dia pun tahu apa yang Ayah Chik telah lama pendam dan luahkan dalam siri-siri pertemuan kami sebelum ini. 

Ketahyulan kedua yang lebih kelakar: "Hamzah tidak bantu Presiden dalam menguruskan parti."

Saya adalah ahli mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Parti selama empat tahun penuh. Saya dan semua pimpinan kanan yang menganggotai JK Pengurusan BERSATU tahu hakikatnya: sumbangan Hamzah dari segi masa, tenaga dan kewangan dalam menguruskan parti khususnya selepas akaun parti dibekukan oleh SPRM dan kerajaan Madani adalah jauh jauh lebih besar berbanding Presiden dan mantan Timbalan Presiden yang menjadi Pengerusi JK Pengurusan itu sendiri.

Bukan BERSATU sahaja. Perjalanan dan pengurusan PN secara keseluruhannya pun Hamzah yang tampil membantu tanpa gagal walaupun ditekan bertubi-tubi oleh Madani melalui SPRM dan LHDN. Saya tahu kerana saya hadir setiap mesyuarat, terlibat dalam setiap keputusan dan mengetahui butiran perbelanjaan parti yang diluluskan dalam mesyuarat JK Pengurusan.

Berbeza dengan Dr. Marzuki yang perlu menyemak maklumat melalui orang kedua atau ketiga dalam PAS dan UMNO: sumber saya adalah primer. Sebagai pensyarah Dr. Marzuki tentu faham bahawa sumber primer lebih berautoriti berbanding hearsay dari sumber sekunder yang entah siapa. Saya berani menulis dan berkongsi maklumat ini kerana isyarat tegas dan jelas telah pun dizahirkan oleh Ayah Chik sendiri minggu lalu. Maka tiada keperluan lagi untuk saya berpura-pura bersopan dengan “political correctness”lagi — tidak ketika maruah dan kredibiliti Hamzah serta kami semua yang menyokong PAS memimpin PN ini dihinjak setiap hari oleh “anjing-anjing politik” dan “ceplos” belaan BERSATU di media sosial.

Tentang Istana: Bukan satu tetapi majoriti Istana. Saya juga boleh sahkan kedudukan dan pengaruh Hamzah bersama Istana-Istana. Cuma saya tidak mahu bercerita secara terbuka di sini kerana ia akan mengheret institusi Raja dalam polemik politik kepartian kerana itu bukan sesuatu yang bijak dan waras untuk ahli politik seperti kami. Kalau akar umbi BERSATU mahu tahu, boleh saja berjumpa saya dan DS Hamzah secara terus untuk sahkan hal ini dalam pertemuan langsung.

Masih banyak lagi yang boleh dibongkar dan dijawab. Tapi saya mahu simpan “peluru-peluru” ini untuk siri penerangan yang lebih tajam dan pedas melalui siri-siri podcast selepas pelancaran parti baru kami Insha-Allah tidak lama lagi.

Akhir kalam, sebagaimana yang dinukilkan Imam Muḥammad ibn Idrīs al-Shāfiʿī (150-204 H):

قَالُوا سَكَتَّ وَقَدْ خِيضَتْ لَكَ الْخُطَرُ ٭

 قُلْتُ إِنَّ الْجَوَابَ لِبَابِ الشَّرِّ مِفْتَاحُ 

وَالصَّمْتُ عَنْ جَاهِلٍ أَوْ أَحْمَقٍ شَرَفٌ ٭

وَفِيهِ أَيْضًا لِصَوْنِ الْعِرْضِ إِصْلَاحُ أَمَا تَرَى الْأُسْدَ تُخْشَى وَهِيَ صَامِتَةٌ ٭ وَالْكَلْبُ يُخْزَى لَعَمْرِي 

وَهْوَ نَبَّاحُ

"Mereka berkata: 'Engkau berdiam diri sedangkan bahaya telah dilemparkan kepadamu?' 

Aku berkata: 'Sesungguhnya membalas celaan itu adalah kunci pembuka pintu kejahatan.'

Dan berdiam diri daripada orang yang jahil atau bodoh adalah satu kemuliaan padanya juga terkandung pemeliharaan maruah dan jalan perdamaian.

Tidakkah engkau melihat bahawa singa-singa itu ditakuti sedangkan mereka diam membisu sementara anjing itu dihinakan demi hayatku walaupun ia sentiasa menggonggong."

(Sumber: Dīwān al-Imām al-Shāfiʿī)

Teruskan menyalak. Kami tetap melangkah maju menuju kemenangan - Insha-Allah! Kita pakat #RESET! 


𝒀𝑩 𝑾𝑨𝑵 𝑨𝑯𝑴𝑨𝑫 𝑭𝑨𝒀𝑯𝑺𝑨𝑳 𝑾𝑨𝑵 𝑨𝑯𝑴𝑨𝑫 𝑲𝑨𝑴𝑨𝑳

Post a Comment

0 Comments