MENOLAK IDEOLOGI BUKAN BERMAKNA MEMBENCI BANGSA

 

Oleh: Dr Haim Hilman Abdullah 

Pengerusi Lajnah Ekonomi & Keusahawanan PAS

Menolak DAP bukan bermakna menolak kaum Cina. Politik dan kaum adalah dua perkara yang berbeza. Kita boleh tidak bersetuju dengan ideologi, pendekatan atau perjuangan sesebuah parti tanpa perlu membenci sesuatu bangsa.

Malaysia dibina atas asas hidup bersama dalam kepelbagaian sejak puluhan tahun dahulu. Orang Melayu, Cina, India, Siam dan lain-lain sudah terlalu lama berkongsi tanah ini. Berniaga bersama, berjiran bersama, belajar bersama dan membesarkan anak-anak dalam negara yang sama. Ramai sahabat, guru, doktor, peniaga dan jiran kita daripada kaum Cina telah menyumbang besar kepada pembangunan negara.

Kita menolak DAP bukan kerana kaum, tetapi kerana kita melihat ada pendekatan dan naratif politik mereka yang sering gagal memahami sensitiviti majoriti rakyat khususnya orang Melayu dan Islam. Dalam banyak keadaan, kenyataan serta tindakan beberapa pemimpin mereka dilihat menyinggung perasaan rakyat dan menjarakkan semangat kebersamaan nasional yang sepatutnya diperkukuhkan.

Malaysia memerlukan politik yang membina semangat nasional, saling menghormati dan memahami kontrak sosial negara ini. Negara ini tidak akan aman jika setiap isu dimainkan secara provokatif sehingga menimbulkan keresahan antara kaum dan agama.

Kita boleh berbeza parti politik, tetapi jangan sesekali memutuskan hubungan kemanusiaan dan perpaduan sesama rakyat Malaysia. Politik datang dan pergi, tetapi negara dan keharmonian rakyat mesti terus dipertahankan.

Post a Comment

0 Comments