Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dicabar agar bertanding di Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sekiranya benar-benar serius mahu memperjuangkan pembangunan pulau peranginan itu.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata, tindakan Teresa yang berterusan menyerang Langkawi menimbulkan persoalan mengenai agenda sebenar beliau terhadap pulau berstatus geopark dunia itu.
“Saranan saya mudah. Jika Teresa benar-benar berminat mahu ‘memajukan’ Langkawi, mintalah Pakatan Harapan letakkan YB sebagai calon bertanding di sana pada PRU akan datang. Kita tengok berapa ratus undi YB akan dapat,” katanya.
Menurut beliau, rakyat Kedah khususnya penduduk Langkawi tidak mudah menerima dakwaan serta kritikan yang disifatkannya tidak berasas terhadap pulau tersebut.
“Saya tertanya-tanya kenapa dia begitu beria-ia menyerang Langkawi. Selepas satu isu, satu isu dibangkitkan dengan rekaan cerita tidak tepat malah apa juga perkara cuba dikaitkan dengan Langkawi.
“Namun biarpun diasak bertubi-tubi dengan serangan tidak berasas, Langkawi tetap teguh berdiri dan rakyat Kedah akan terus mempertahankan pulau itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas serangan demi serangan oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok terhadap pulau ‘Permata Kedah’ itu.
Terbaharu, Teresa menyelar kritikan berterusan Pemuda PAS Selangor berhubung penganjuran Festival Muzik Rain Rave di Bukit Bintang, selain secara sinis mengaitkan penglibatan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam filem ‘The Keris’ dengan usaha mempromosikan Langkawi.
Sebelum itu, beliau mendakwa kononnya pelancongan Langkawi merosot akibat kegagalan tadbir urus Kerajaan Negeri Kedah.
“Apabila gagal mematahkan fakta dan data yang saya ketengahkan sebelum ini, dia bandingkan pula Langkawi dengan dua destinasi lain, iaitu Bali dan Phuket. Satu perbandingan yang tidak adil, tidak wajar dan tidak cerdik,” katanya.
Mohd Salleh turut membangkitkan semula cadangan Teresa di Dewan Rakyat pada 13 November tahun lalu yang mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk mengambil alih pentadbiran Langkawi dengan menjadikannya Wilayah Persekutuan, wilayah khas atau zon antarabangsa.
“Adakah serangan-serangan terbaharu ini satu cara untuk dia gilap semula cadangan itu? Atau satu bentuk sabotaj terhadap sektor pelancongan Langkawi supaya apabila pulau ini benar-benar suram, maka ada alasan untuk laksanakan cadangan tersebut?
“Saya tidak pasti. Tetapi kalau itu niatnya, saya minta dia berhenti bermimpi,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Salleh berkata, Kerajaan Negeri juga tidak akan mengorbankan nilai serta identiti masyarakat tempatan semata-mata mahu merancakkan sektor pelancongan.
“Langkawi tidak akan sesekali dijadikan hab hedonisme atau budaya tidak sihat, biarpun pulau peranginan itu terus diasak dengan pelbagai dakwaan dan serangan politik.
“Majoriti penduduk Langkawi dan rakyat Kedah beragama Islam merangkumi 78.5 peratus. Roh Islam berada dalam setiap helaan nafas kami. Maka apa juga yang dilakukan, asasnya tetap berpandukan nilai tersebut,” katanya.
Tambah beliau lagi, Langkawi merupakan sebahagian daripada Kedah, negeri berdaulat yang mempunyai sejarah bermula sejak abad ke-8 Sebelum Masehi, selain antara negeri tertua di Asia Tenggara.
“Tidak ada rakyat Kedah yang siuman akan menyerahkan mana-mana wilayahnya kepada pihak lain,” tegasnya.

0 Comments