Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) mengeluarkan dua kompaun dan satu notis terhadap sebuah hotel di bandar raya ini selepas pemeriksaan mendapati tahap kebersihan premis berkenaan tidak memuaskan, susulan penularan video aduan pelanggan di media sosial.

MBAS dalam satu kenyataan berkata, pemeriksaan telah dijalankan terhadap beberapa bilik termasuk bilik yang diadu di hotel terbabit dan mendapati secara keseluruhannya tahap kebersihan premis tidak memuaskan serta memerlukan tindakan penambahbaikan segera.

“Hasil pemeriksaan mendapati tahap kebersihan hotel adalah tidak memuaskan dan tindakan serta-merta telah diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, satu kompaun telah dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Hotel (MBAS) 2010 atas kesalahan gagal menyelenggara premis dengan baik berkaitan aspek kebersihan.

Selain itu, satu lagi kompaun turut dikenakan di bawah Undang-Undang Mencegah Kekotoran (PBTNK) 1983 selepas pemeriksaan mendapati perangkap minyak di bahagian dapur rosak sehingga menyebabkan kekotoran sisa makanan.

“Selain daripada tindakan kompaun, satu notis di bawah UUK Hotel (MBAS) 2010 turut dikeluarkan dengan memberikan tempoh tujuh hari kepada pihak hotel bagi melaksanakan kerja pembetulan dan penambahbaikan,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, hasil perbincangan bersama pihak pengurusan hotel mengakui kelemahan yang berlaku, dan menerima teguran diberikan serta memberi komitmen untuk melakukan kerja pembersihan serta penambahbaikan dengan segera.

“Pemeriksaan bersepadu itu turut melibatkan Jabatan Kesihatan Persekitaran, Bahagian Penguatkuasaan serta Bahagian Pelancongan dan Kebudayaan,” katanya lagi.

Menurut MBAS, pemeriksaan susulan akan dijalankan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) selepas ini bagi memastikan pematuhan terhadap kehendak undang-undang dan  standard kebersihan premis penginapan dipatuhi sepenuhnya.

“Langkah tegas ini diambil kerana MBAS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam memastikan aspek kebersihan sentiasa dipelihara,” kata kenyataan itu.

MBAS tegaskan tindakan penguatkuasaan itu dibuat selepas sebuah video di Facebook memaparkan ketidakpuasan hati seorang pengunjung mengenai keadaan hotel terbabit, termasuk bilik air yang didakwa berlumut serta cadar katil berbau hapak.

Video berkenaan kemudiannya tular di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai reaksi orang ramai, termasuk segelintir pihak yang cuba mengaitkan isu tersebut dengan imej Kerajaan Negeri Kedah sekali gus sengaja memburukkan negeri ini.