KUTIPAN HASIL KEDAH MENINGKAT, SURPLUS DUA TAHUN BERTURUT-TURUT

 

Oleh: Hafiz Mansor,

Ketua Penyelidik Yayasan Kedah Sejahtera

Urusetia Penerangan Darul Aman (UPDA) melaporkan Kerajaan Negeri Kedah berjaya mencatatkan lebihan bagi tahun semasa Akaun Hasil Disatukan iaitu, RM48.7 juta.

Ini menunjukkan Kerajaan Negeri berjaya mencatatkan surplus bagi tahun kedua berturut-turut dengan tahun sebelumnya, iaitu pada 2024, Kerajaan Negeri mencatatkan surplus RM11.16 juta.

Dalam tempoh lima tahun terakhir, Kerajaan Negeri juga berjaya memastikan kewangan Kerajaan Negeri berada pada prestasi yang baik. 

Kedah pernah mencapai surplus RM52.68 juta pada tahun 2021, manakala defisit yang pernah dicatatkan hanyalah kira-kira RM12.66 juta pada tahun 2023 sebelum kembali mencatatkan surplus bagi dua tahun berikutnya. 

Kalau dibuat perbandingan bagi 10 tahun terakhir negeri Kedah, kita pernah mencatatkan defisit sehingga RM97.36 juta pada tahun 2015, defisit RM59.28 juta pada tahun 2016 serta defisit RM36.05 juta pada tahun 2017. 

Situasi surplus yang dicatatkan ini menunjukkan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran YAB Dato' Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor mengalami perubahan yang substantif dan semakin kukuh dari tahun ke tahun. 

Prestasi kutipan Hasil Kerajaan Negeri juga telah melepasi paras RM800 juta dengan kutipan keseluruhan bagi tahun 2025 adalah RM816 juta melebihi sasaran asal kutipan yang dibentangkan dalam Bajet 2025. 

Kutipan hasil yang tinggi ini juga menunjukkan Kedah berada pada paras yang lebih baik berbanding era pra pandemik dengan kutipan yang pernah dicatatkan adalah RM778.26 juta pada tahun 2019. 

Namun, kutipan pada tahun 2019 disokong oleh suatu pemberian khas oleh Kerajaan Persekutuan berjumlah RM200 juta. 

Sebelum itu, kutipan hasil negeri berada secara purata RM400 juta kepada RM600 juta sahaja sepanjang tahun 2015 hingga 2018. 

Tambahan lagi, baki akhir rizab Kerajaan Negeri juga mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan. 

Kalau diikutkan baki terakhir Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri semakin mengukuh kepada sekitar RM450 juta berbanding paras terendah yang pernah dicapai Kerajaan Negeri adalah RM43.41 juta pada tahun 2015. 

Kedudukan ini menjadikan Kedah sekali lagi menjadi negeri yang mempunyai pengurusan kewangan yang semakin baik dan cermat serta dalam masa sama memulihkan kedudukan kewangan Akaun Hasil Disatukan Negeri Kedah ketika ini.

Post a Comment

0 Comments