'BERSAMA' DIAKUI JADI ANCAMAN KEPADA PKR MENJELANG PRU16


Oleh: Roslinda Hashim

ALOR SETAR - Kewujudan Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang diterajui Datuk Seri Rafizi Ramli diakui akan menjadi ancaman kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bendahari Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Datuk Dr. Zulkifly Mohamad berkata, kesan daripada gerakan oleh kem bekas Timbalan Presiden PKR itu dijangka memberi kesan besar terutama di peringkat cabang parti itu.

Menurutnya, tidak mustahil ia menyebabkan ramai ahli akar umbi meninggalkan parti menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Hampa sedar ka dak? Saya duduk di Kedah, saya tahu. Bukan sikit kesan ‘team Rafizi’, ramai ahli cabang akan lari.

“Kalau masih lena dan syok dengan jawatan, kalau ada orang jenis ampu penuh dalam parti, PRU nanti kita akan terima padah.

“Kesan parti Bersama ni cukup besar, itu saja saya boleh bagi tahu,” katanya menerusi kenyataan dimuat naik di media sosial miliknya, baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau turut meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir pimpinan parti itu yang didakwa hanya mengejar jawatan serta elaun tanpa membantu memperkukuh parti di negeri itu.

Menurutnya, terdapat pemimpin menerima lantikan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), namun gagal menyumbang tenaga mahupun kewangan kepada parti.

“Hampa ada elaun, ada lantikan GLC, hampa makan elaun saja, kerja tak tara mana. Harap nak sumbangan duit untuk bantu negeri sikit pun tak bagi, itu pun cakap besar.

“Ada yang pegang jawatan besar, tapi sumbangan kepada negeri cuma RM100 setahun. Dapat jawatan terus tukar kereta, bila tak dilantik mula merajuk.

“Bantu tenaga pun tidak, bantu duit jauh sekali. Parti akan susah kalau dikelilingi penjilat,” katanya.

Zulkifly turut kesal dengan budaya mengampu kalangan pimpinan yang dikatakan antara punca kelemahan parti sehingga menyebabkan beliau tampil membuat teguran ‘keras’ bagi menyedarkan semua pihak.

“Jadi ikut suka lah nak kata saya cakap kasar ka dak, sebab kalau tak cakap kasar, semua lena duk syok mengampu,” katanya.

Tambah beliau, dirinya sendiri sanggup mengorbankan wang dan tenaga mengadakan program sembang santai di beberapa cabang PKR di Kedah bagi memperbaiki kelemahan parti dan menggerakkan semula sokongan akar umbi.

“Saya buat program ini untuk bantu perbetulkan mana yang boleh demi kebaikan MPN Kedah. Saya tak guna duit orang, tak tunggu duit Pusat atau ambil duit elaun lantikan apa-apa jawatan sebab saya tak ada elaun GLC mana-mana pun,” katanya. 

Sebelum ini, Rafizi dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengambil alih sebuah parti politik dikenali Parti Bersama Malaysia (Bersama). Penyerahan parti yang diterajui kedua-dua bekas menteri itu dilaksanakan pada majlis pengumuman hala tuju politik mereka pada 17 Mei lalu.

Pada hari sama, mereka turut mengumumkan keluar dari PKR dan mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa.

Post a Comment

0 Comments