“JADILAH PADI BERISI, BUKAN PADI ANGIN”

 

PESANAN SANUSI KEPADA GENERASI MUDA

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengingatkan generasi muda supaya menjadi ‘padi berisi’ yang merendah diri dan memberi manfaat kepada masyarakat, bukannya ‘padi angin’ yang hanya kelihatan hebat tetapi kosong tanpa nilai dan prinsip hidup.

Menurut beliau, kecemerlangan akademik semata-mata tidak memadai sekiranya tidak dilengkapi pembinaan sahsiah, kekuatan jiwa dan akhlak yang baik.

“Anak-anak boleh menjadi orang yang sangat pandai, tetapi jika tidak mempunyai nilai dan prinsip hidup yang baik, kepandaian itu akhirnya membawa kerosakan kepada diri sendiri dan masyarakat.

“Jangan berbuah setakat di tempat semaian. Tunggulah proses bermula ditanam, dibajai, diairi dan dijaga sehingga tumbuh sebagai padi yang tunduk. Makin berisi, makin tunduk.

“Jangan tumbuh sebagai padi angin, nampak gagah berdiri tetapi isi tak ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Idul Ilmi Maktab Mahmud Alor Setar, hari ini.

Sanusi berkata, dunia hari ini melahirkan ramai individu bijak, namun ketandusan manusia yang mempunyai jiwa besar dan rendah hati.

Katanya, masyarakat memerlukan manusia yang tidak lupa diri apabila berjaya serta menggunakan kedudukan dimiliki untuk membantu orang lain, bukannya menindas.

“Manusia yang semakin tinggi ilmunya, semakin rendah hatinya. Apabila diberikan kedudukan, dia menggunakan kedudukan itu untuk bantu orang lain dan bukan menindas.

“Jika nilai ini berjaya dibina dalam diri anak-anak, kita bukan sahaja melahirkan generasi cemerlang akademik tetapi generasi yang mampu memimpin masyarakat dengan adab, hikmah dan kebijaksanaan,” katanya.

“Inilah yang sedang kita usahakan untuk negeri Kedah, sebuah negeri yang maju bukan sahaja pembangunan fizikal, tetapi juga maju akhlak, budaya ilmu dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Sanusi turut menegaskan, pembangunan sesebuah negeri tidak boleh diukur semata-mata melalui pencakar langit, bangunan moden atau kemajuan fizikal.

Sebaliknya kata beliau, pembangunan sebenar ialah membina manusia yang semakin dekat kepada Tuhan, mempunyai akal, sahsiah, jiwa serta akhlak yang baik.

“Kalau semakin tinggi kedudukan tetapi makin sombong, angkuh dan engkar kepada Tuhan, itu bukan pembangunan tetapi kemunduran. Pembangunan bermaksud semakin tunduk, semakin tawaduk dan semakin rasa diri perlu kepada Tuhan,” katanya.

Tambah beliau, Kedah mahu membina sebuah negeri yang bukan sahaja maju dari sudut pembangunan fizikal, tetapi turut maju dalam aspek akhlak, budaya ilmu dan kesejahteraan masyarakat.

“Kalau manusia rosak akhlak, hilang arah tujuan hidup, runtuh nilai moral dan ketandusan jiwa, maka kemajuan itu akhirnya akan memakan diri masyarakat itu sendiri.

“Sebab itu iman, ilmu, moral, disiplin, budaya ilmu dan kesedaran terhadap tanggungjawab sosial adalah perkara jauh lebih penting daripada kemajuan material semata-mata,” ujarnya.

Menurut Sanusi, Kerajaan Negeri sedang mengusahakan pembentukan ‘bi’ah sakinah’, iaitu suasana kehidupan yang tenang dan harmoni dengan masyarakat saling membantu, menghormati dan menyayangi antara satu sama lain.

“Kita sandarkan harapan kepada generasi muda untuk menjaga agama, membina masyarakat dan meneruskan kelangsungan negeri ini.

“Mereka bukan sekadar generasi pewaris, tetapi penentu sama ada Kedah pada masa hadapan menjadi negeri yang kuat, bermaruah, maju dan berbudaya ataupun sebaliknya,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pelajar agar tidak terlalu kagum dengan kemajuan dunia sehingga akhirnya kehilangan identiti dan jati diri sendiri.

“Anak-anak mesti bina kekuatan dalaman. Kekuatan ilmu, iman, prinsip dan kekuatan jiwa. Dunia masa hadapan bukan hanya mencabar dari sudut ekonomi dan teknologi, tetapi juga cara manusia berfikir, menilai dan mempertahankan prinsip hidup,” katanya.

Post a Comment

0 Comments