Oleh: Mohd Norfaizal Nordin
Pengarah PASTI Negeri Melaka
1. Pihak kami mengambil maklum berkenaan satu status yang dimuat naik oleh seorang puteri UMNO yang pernah membantu sebagai jurulatih bola jaring bagi PASTI Kawasan Jasin dan Negeri Melaka.
2. Untuk makluman semua pihak, PASTI Negeri Melaka beroperasi sebagai sebuah institusi pendidikan yang bukan sahaja menitikberatkan kefahaman agama, bahkan turut memberi perhatian kepada pembangunan sahsiah dan aktiviti kokurikulum termasuk sukan. Setiap tahun, PASTI Melaka menghantar wakil bagi menyertai pertandingan peringkat kebangsaan bersama kontinjen PASTI seluruh Malaysia.
3. Apabila tiba musim pertandingan, adalah perkara biasa untuk pihak kami mendapatkan bantuan jurulatih bagi melatih anak-anak yang terlibat. Namun perlu ditegaskan, pelantikan tersebut dibuat atas dasar sukarela dan bantuan khidmat masyarakat, bukannya secara profesional atau kontrak jangka panjang.
4. Sepanjang sejarah PASTI, tidak pernah wujud sebarang kontrak bertahun-tahun bagi jawatan jurulatih sukan. Individu berkenaan sebelum ini membantu atas kesediaan beliau sendiri untuk melatih anak-anak PASTI dan kami menghargai sumbangan tersebut.
5. Tambahan pula, beliau kini secara terbuka membawa identiti politik kepartian. Justeru, bagi mengelakkan sebarang polemik atau persepsi politik melibatkan anak-anak PASTI, pihak kami memilih untuk menguruskan latihan menggunakan kapasiti dalaman sendiri.
6. Berhubung dakwaan bahawa beliau “dipecat”, “disiasat” dan sebagainya, pihak kami menyerahkan perkara itu kepada beliau untuk terus memainkan naratif politik yang kami sifatkan sebagai tidak matang dan tidak membawa manfaat kepada mana-mana pihak.
7. PASTI akan terus berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang politik. Fokus kami adalah pendidikan, pembinaan akhlak dan pembangunan anak-anak, bukan terjebak dalam polemik politik yang akhirnya hanya merugikan banyak pihak.

0 Comments