Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Premis perniagaan termasuk hotel, kedai makan dan lokasi pelancongan yang gagal mematuhi arahan kebersihan berdepan tindakan tegas sehingga berisiko ditutup sekiranya masih ingkar selepas diberi amaran dan dikenakan kompaun.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan terus mempergiatkan penguatkuasaan terhadap mana-mana premis yang didapati bermasalah dalam memastikan tahap kebersihan sentiasa terpelihara.
Menurutnya, tindakan yang diambil bukan sekadar amaran atau kompaun, malah boleh membawa kepada penutupan premis sekiranya pemilik gagal melakukan penambahbaikan.
“Jika kita dapati mana-mana premis ada masalah, kita akan hantar penguat kuasa untuk mengambil tindakan. Bukan sahaja amaran atau kompaun, malah sampai ketikanya premis itu boleh ditutup jika masih tidak berubah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) yang sebelum ini mengeluarkan dua kompaun dan satu notis terhadap sebuah hotel di bandar raya ini selepas pemeriksaan mendapati tahap kebersihan premis tersebut tidak memuaskan.
Tindakan penguatkuasaan itu dibuat susulan penularan video di media sosial yang memaparkan ketidakpuasan hati seorang pelanggan terhadap keadaan hotel tersebut, termasuk bilik air yang didakwa berlumut serta cadar katil berbau hapak.
Video berkenaan kemudiannya tular di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai reaksi orang ramai, termasuk segelintir pihak cuba mengaitkan isu tersebut dengan imej Kerajaan Negeri Kedah sekali gus sengaja memburukkan negeri ini.
Mansor tegaskan, beliau telah mengarahkan MBAS supaya menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan tanpa perlu menunggu aduan atau komen daripada orang ramai.
“Semua premis dalam kawasan PBT termasuk kedai makan, hotel dan kawasan pelancongan perlu mematuhi peraturan kebersihan yang ditetapkan. Jika gagal, tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya.
Beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan MBAS ke atas hotel berkenaan dan menegaskan penguatkuasaan perlu dilaksanakan terhadap mana-mana premis yang gagal mematuhi piawaian kebersihan.
“Saya menyokong sepenuhnya tindakan MBAS terhadap mana-mana premis yang gagal mematuhi arahan, khususnya berkaitan kebersihan,” katanya.
Dalam pada itu, Mansor memaklumkan, pendekatan sama pernah dilaksanakan di Langkawi tahun lalu menerusi program kesedaran dan gotong-royong bagi memastikan pulau peranginan itu bebas daripada wabak denggi.
“Menerusi program berkenaan, untuk pastikan Langkawi bebas denggi diadakan gotong-royong. Jika kita jumpa kes denggi berpunca daripada kecuaian premis, kita saman dan jika pemilik masih gagal ambil tindakan, boleh sampai ke peringkat menutup premis tersebut,” katanya.
Mengulas tindakan segelintir pihak yang mengaitkan isu hotel berkenaan dengan imej Kerajaan Negeri Kedah, beliau menyifatkan perkara itu sebagai tidak munasabah.
“Tak kan semua benda hendak dikaitkan dengan Kerajaan Negeri. Tak munasabah menyalahkan Kerajaan Negeri sebab hotel yang kotor. Tak perlulah nak upload di media sosial, kalau ada masalah, terus adu kepada pihak terbabit,” katanya.
Beliau sebaliknya menggalakkan orang ramai menyalurkan aduan terus kepada agensi berkaitan sekiranya menemui sebarang masalah atau kepincangan.
“Kalau nampak ada masalah, terus maklumkan kepada pihak berkenaan. Kita mengalu-alukan pandangan semua pihak demi kebaikan bersama. Tidak perlulah menyalahkan mana-mana pihak kerana bukan semua perkara perlu dipikul oleh Kerajaan Negeri.
“Tak kan pula Menteri Besar juga kena pergi periksa premis hotel atau semua benda dalam negeri ini,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
https://www.facebook.com/share/p/18cf1KaaRH/

0 Comments