UMAT ISLAM TERUS DITIPU LAGI


 Minda Presiden PAS

Oleh: Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Tidak ada sebab harga minyak dinaikkan di Semenanjung Malaysia, tetapi tidak di Sabah dan Sarawak kerana Malaysia tidak termasuk dalam sekatan Iran di Selat Hormuz. Hal ini disebabkan Iran menghargai ramai rakyat Malaysia yang berani tidak berpihak kepada kerajaan yang masih ketakutan kepada Amerika Syarikat dan Israel, yang nyata penceroboh terhadap negara Islam yang berdaulat bersama Islamnya serta tidak menjadi ancaman kepada dunia kerana benar-benar mengharamkan senjata pemusnah yang melampau.

Pada masa yang sama, Malaysia mempunyai telaga minyak dan gas sendiri serta masih banyak sumber lain yang boleh diselesaikan bersama dalam dunia Islam, khususnya negara jiran yang banyak sumber alamnya yang dikurniakan Allah. Masalah sebenar yang berlaku banyaknya kebocoran dan salah laku dalam pengurusan.

Tidak ada sebab untuk menaikkan harga minyak kerana sebelum ini pernah membuat kenyataan yang berdegar-degar, boleh menyelesaikan isu harga minyak dalam masa kurang daripada 24 jam, tetapi hari ini bersikap penakut dan hilang dunianya dengan berperisaikan alasan kenaikan harga minyak bersama Amerika Syarikat dan sekutunya, yang sebenarnya berpunca daripada sekatan yang dilakukan oleh Iran. Hakikatnya, Malaysia tidak termasuk dalam negara yang disekat kerana rakyat negara ini menyokong Palestin dan Republik Islam Iran yang diceroboh.

Penduduk Melayu dan bumiputera pernah ditipu oleh penjajah British dahulu melalui perisytiharan darurat untuk menentang komunis dan sebagainya. Sebenarnya untuk mengekalkan penjajahan mereka dengan berbagai-bagai helah, termasuk menjadikan negara terus bergantung dengan penjajah selepas kemerdekaan dengan membodohkan rakyat dan melemahkannya.

Tun Dr. Mahathir Mohamad, negarawan negara pernah memberikan amaran bahawa Melayu dan bumiputera jangan mudah lupa, termasuk lupa akan janji boleh menurunkan harga minyak dalam sekelip mata.

Rasulullah SAW pernah memberikan amaran supaya orang beriman itu tidak sepatutnya ditipu berulang kali sehingga memperlihatkan kebodohannya. Malulah bangsa Melayu yang mengaku Islam ini sekiranya boleh ditipu berulang kali. Kali ini ditipu oleh murid penjajah yang paling pembohong dan telah menjadi pemimpin yang boleh diajak menari bersama di tengah padang dan di atas pentas.

Kononnya, dia bijak seperti Nabi Yusuf AS yang dikawal oleh wahyu Allah untuk menasihati kerajaan Mesir pada zamannya supaya bersedia menghadapi krisis yang akan berlaku, bukannya merancang untuk mengekalkan kuasa seperti Firaun yang mengaku dirinya tuhan yang mengetahui segala-galanya dan berkuasa melakukan apa-apa sahaja.

Dunia sedang menghadapi Firaun moden bernama Donald Trump, syaitan besar berwajah Dajjal (pembohong besar) yang mengugut seluruh dunia dan menyatakan bahawa negaranya paling kuat di dunia. Rakyat Amerika Syarikat sendiri sudah ramai yang sedar akan penipuannya.

Sejarah kezaliman berlaku di beberapa buah negara di dunia yang bertopengkan undang-undang bagi mengekalkan kuasa di sebalik jenama menjaga keamanan, keselamatan, kestabilan dan sebagainya. Namun, rakyat pula yang disalahkan kerana melakukan penentangan terhadap kerajaan yang salah.

Sedarlah bahawa Allah meletakkan otak manusia yang berfikir di atas kepala yang menjunjungnya, bukan kepala yang searas dengan perut seperti binatang yang diternak untuk disembelih sehingga berfikir untuk perut dan nafsunya sahaja.

Berfikirlah dengan matang dan sejahtera bagi menjaga harga diri kurniaan Allah ini. Janganlah sentiasa ditipu dalam kehidupan di alam dunia ini yang adanya syaitan yang cerdik untuk menipu bersama bala tenteranya, termasuk dalam kalangan manusia yang berwajah menarik, fasih bercakap, dan pandai berlakon.

Banyak negara di dunia yang mungkin kelihatan miskin jasad dan lekeh pakaian mereka, tetapi lebih bijak berfikir dengan menolak jatuh pemimpin yang menipu dan menghalau penjajah yang lebih menipu. Hal ini termasuklah negara di hutan Afrika, hutan Amazon Amerika Latin, dan negara Asia yang dianggap ketinggalan rakyat mereka kerana penyelewengan pemimpin, termasuk yang berwajah demokrasi tetapi menipu rakyat.

Melayu pernah bertamadun dengan petunjuk Islam selama beberapa abad yang menyatukan mereka. Kita dijajah kerana kelalaian pemimpin yang berpecah, meninggalkan Islam, serta berperang kerana harta dan takhta sehingga meninggalkan ilmu dan akhlak yang mulia.

Kita lahir dalam keadaan rumpun Melayu yang paling besar jumlahnya dan kaya hasil buminya, tetapi boleh jatuh dikalahkan oleh penjajah yang datang dengan beberapa buah kapal sahaja disebabkan kita jahil, berpecah belah, dan tidak berakhlak kerana kelemahan iman, maka kita dikalahkan dan dijajah dengan mudah.

Sebabnya ialah kesalahan kita sendiri yang meninggalkan Islam, petunjuk Allah yang mewajibkan kita berpegang dengan Islam yang sempurna supaya berilmu dunia dan akhirat yang mencukupi, merangkumi fardu ain dan fardu kifayah yang membekali peribadi manusia yang berjasad, berakal, dan mengandungi roh untuk memandu nafsu. Semua ini supaya manusia dapat menunaikan amanah Allah di alam dunia dengan ilmu dan kebijaksanaan agar tidak boleh ditipu oleh Iblis dan bala tenteranya.

Firman Allah SWT:

لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَٰنَ فِيٓ أَحۡسَنِ تَقۡوِيمٖ ٤ ثُمَّ رَدَدۡنَٰهُ أَسۡفَلَ سَٰفِلِينَ ٥ إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ فَلَهُمۡ أَجۡرٌ غَيۡرُ مَمۡنُونٖ ٦ فَمَا يُكَذِّبُكَ بَعۡدُ بِٱلدِّينِ ٧ أَلَيۡسَ ٱللَّهُ بِأَحۡكَمِ ٱلۡحَٰكِمِينَ ٨

“Sesungguhnya, Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. (4) Kemudian, Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (Neraka). (5) Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh; maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya. (6) Maka, apakah yang menyebabkan kamu mendustakan (hari) pembalasan sesudah (adanya keterangan-keterangan) itu? (7) Bukankah Allah Hakim yang seadil-adilnya? (8)” [Surah al-Tin: 4–8]

Manusia yang mulia mengisi jasadnya dengan makanan yang halal, akalnya dengan ilmu, dan rohnya dengan iman dan akhlak yang mulia. Ada manusia yang tidak membentuk dirinya dengan ketetapan Allah, apabila mereka merosakkan diri dan dunia kelilingnya bersama syaitan yang dilaknat Allah.

Firman Allah SWT:

۞أَلَمۡ أَعۡهَدۡ إِلَيۡكُمۡ يَٰبَنِيٓ ءَادَمَ أَن لَّا تَعۡبُدُواْ ٱلشَّيۡطَٰنَۖ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ ٦٠ وَأَنِ ٱعۡبُدُونِيۚ هَٰذَا صِرَٰطٞ مُّسۡتَقِيمٞ ٦١ وَلَقَدۡ أَضَلَّ مِنكُمۡ جِبِلّٗا كَثِيرًاۖ أَفَلَمۡ تَكُونُواْ تَعۡقِلُونَ ٦٢

“Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu wahai Bani Adam supaya kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya, syaitan itu ialah musuh yang nyata bagi kamu. (60) Dan hendaklah kamu menyembah-Ku. Inilah jalan yang lurus. (61) Sesungguhnya, syaitan itu telah menyesatkan sebahagian besar antaramu, maka adakah kamu tidak memikirkan? (62)” [Surah Yasin: 60–62]

Allah SWT telah menetapkan pertembungan antara manusia yang baik bersama petunjuk Allah dengan manusia yang ditipu oleh syaitan, sebagaimana firman-Nya:

وَإِذۡ قُلۡنَا لِلۡمَلَـٰٓئِكَةِ ٱسۡجُدُواْ لِأٓدَمَ فَسَجَدُوٓاْ إِلَّآ إِبۡلِيسَ قَالَ ءَأَسۡجُدُ لِمَنۡ خَلَقۡتَ طِينٗا ٦١ قَالَ أَرَءَيۡتَكَ هَٰذَا ٱلَّذِي كَرَّمۡتَ عَلَيَّ لَئِنۡ أَخَّرۡتَنِ إِلَىٰ يَوۡمِ ٱلۡقِيَٰمَةِ لَأَحۡتَنِكَنَّ ذُرِّيَّتَهُۥٓ إِلَّا قَلِيلٗا ٦٢ قَالَ ٱذۡهَبۡ فَمَن تَبِعَكَ مِنۡهُمۡ فَإِنَّ جَهَنَّمَ جَزَآؤُكُمۡ جَزَآءٗ مَّوۡفُورٗا ٦٣

“Dan (ingatlah) tatkala Kami berfirman kepada para malaikat, ‘Sujudlah kamu semua kepada Adam,’ lalu mereka sujud, kecuali Iblis. Dia (Iblis) berkata, ‘Adakah aku akan sujud kepada orang yang Engkau ciptakan daripada tanah?’ (61) Dia (Iblis) berkata, ‘Terangkanlah kepadaku inikah orangnya yang Engkau muliakan atas diriku? Sesungguhnya jika Engkau memberikan penangguhan kepadaku sampai Hari Kiamat, nescaya benar-benar akan aku sesatkan keturunannya, kecuali sebahagian kecil.’ (62) Tuhan berfirman, ‘Pergilah! Sesiapa antara mereka yang mengikutimu, maka sesungguhnya Neraka Jahannam ialah balasanmu semua sebagai suatu pembalasan yang cukup.’ (63)” [Surah al-Isra’: 61–63]

Allah SWT juga memberitahu bahawa terdapat syaitan jenis manusia dan jin yang wajib kita minta perlindungan-Nya:

قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ ١ مَلِكِ ٱلنَّاسِ ٢ إِلَٰهِ ٱلنَّاسِ ٣ مِن شَرِّ ٱلۡوَسۡوَاسِ ٱلۡخَنَّاسِ ٤ ٱلَّذِي يُوَسۡوِسُ فِي صُدُورِ ٱلنَّاسِ ٥ مِنَ ٱلۡجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ ٦

“Katakanlah, ‘Aku berlindung kepada Tuhan (yang memelihara dan menguasai) manusia. (1) Raja manusia. (2) Sembahan manusia. (3) Daripada kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi. (4) Yang membisikkan (kejahatan) dalam dada manusia. (5) Daripada (golongan) jin dan manusia.’ (6)” [Surah al-Nas: 1–6]

Kini, kita ditipu supaya bersolat, berpuasa, berhari raya, berhaji, dan bertakbir menghadap kiblat di Makkah, tetapi urusan kehidupan kita, khususnya dalam aspek ekonomi yang dijadikan berhala yang disembah menghadap ke arah New York dan Washington, yang dipercayai rezeki mereka ada pada Bank Dunia (World Bank) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Kembalilah ke pangkal jalan, janganlah ditipu syaitan berulang kali. Firman Allah SWT:

وَإِذَا لَقُواْ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قَالُوٓاْ ءَامَنَّا وَإِذَا خَلَوۡاْ إِلَىٰ شَيَٰطِينِهِمۡ قَالُوٓاْ إِنَّا مَعَكُمۡ إِنَّمَا نَحۡنُ مُسۡتَهۡزِءُونَ ١٤

“Dan apabila mereka berjumpa dengan orang-orang yang beriman, mereka mengatakan, ‘Kami telah beriman.’ Dan apabila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka mengatakan, ‘Sesungguhnya kami sependirian dengan kamu, kami hanyalah berolok-olok.’” [Surah al-Baqarah: 14]

Al-Quran banyak membawa cerita bahawa semua anbiya’ menentang pemimpin syaitan sehingga ada yang berlagak menjadi tuhan yang kononnya boleh memberikan rezeki, namun menyesatkan rakyat dengan bala tentera syaitannya.

Kini, umat seluruh dunia sedang ditipu oleh negara yang bernama Islam mengajak berdamai dengan syaitan, ketika kumpulan syaitan itu menceroboh negara Islam. Bukannya mengajak berdamai sesama Islam dan bersatu menentang musuh.

Negara Republik Islam Iran diserang oleh Israel dan Amerika Syarikat kerana membuat persediaan menentang musuh bagi membebaskan Palestin dan Bait al-Maqdis, tanah suci ketiga umat Islam serta membantu rakyat Palestin yang bangkit berjuang melawan musuh yang menakluk mereka dengan perintah Allah. Adapun negara lain tidak menolong dan tidak membuat persediaan walaupun banyak harta mereka, sebaliknya menjadikan tentera asing yang bermusuh dengan Islam sebagai pembantu atau penolong yang menjaga negara mereka.

Musuh menggunakan pangkalan tentera mereka itu bagi menyerang Iran dan membantu Zionis yang menjajah Palestin, maka apabila Iran menyerang balas tentera musuh yang menggunakan pangkalan tersebut, tiba-tiba rakyat ditipu bahawa Iran menyerang dan menceroboh negara jiran. Dijadikan alasan mazhab Syiah menyerang mazhab Sunni dan menyerang negara Arab bangsa Nabi SAW, padahal rakyat Palestin yang selama ini dibantu Iran juga adalah Sunni.

Allah mewajibkan umat Islam daripada semua bangsa dan mazhab supaya bersatu bawah panji Islam dan kiblat yang satu.

Maka, apakah nama mazhab dalam Sunni yang bersekongkol dengan musuh Islam yang menyerang tanah air Islam tanpa membezakan mazhabnya? Inilah penipuan baharu yang dilakukan terhadap umat Islam.

Beberapa negara yang berjenama Islam dan Arab itu tidak mengutuk Zionis dan Amerika Syarikat yang menceroboh dan menyerang Iran, tanah air Islam terlebih dahulu, sebaliknya mengutuk Iran yang membalas serangan kerana melaksanakan perintah Allah SWT:

وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ ١٩٠

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” [Surah al-Baqarah: 190]

Negara-negara itu bukanlah menunaikan kewajipan agama bersama saudara Islam yang dizalimi, sebaliknya menjadi pendamai bagi menyelamatkan musuh yang zalim dan sedang mula dikalahkan kini.

Awas, umat Islam jangan ditipu lagi!

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 19 Syawwal 1447 / 8 April 2026

[Bil: 25 / 2026]

Post a Comment

0 Comments