Oleh: Roslinda Hashim
KUALA KETIL - Kenaikan harga diesel dijangka memberi tekanan besar kepada industri padi khususnya di Kedah berikutan ia boleh menjejaskan kemampuan pesawah mengusahakan tanaman jika tiada campur tangan segera kerajaan.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mencadangkan agar subsidi bahan api disalurkan melalui penggunaan ‘fleet card’ khusus kepada jentera pertanian seperti mesin menuai dan membajak bagi mengurangkan beban kos operasi.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan kelangsungan industri padi negeri ini tidak terjejas, selain mengelakkan pesawah berdepan kerugian akibat peningkatan kos mendadak.
“Jika kos terlalu tinggi tanpa subsidi, saya bimbang pesawah tidak mampu lagi mengusahakan padi. Kerajaan perlu beri perhatian dan ambil tindakan segera untuk bantu melalui subsidi minyak kepada jentera terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen dan Majlis Penyerahan Watikah Majlis Ketua Kampung (MKK) Negeri Kedah di Dewan Tuanku Permaisuri Hajah Haminah, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Sanusi turut menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan penggunaan kaedah tabur terus kering yang dipromosikan ketika ini susulan masalah kekurangan air.
Katanya, kaedah tersebut berisiko tinggi menyebabkan berlakunya masalah padi angin serta kerugian kepada pesawah sekiranya hasil tidak menjadi walaupun kos telah dikeluarkan.
“Memang kita hadapi masalah air. Kalau keadaan air tidak mencukupi untuk tanam padi, lebih baik tunggu sekejap, tangguhkan dahulu penanaman sehingga ada hujan dan bekalan air secukupnya.
“Tabur kering ini berisiko padi angin, kos sudah keluar tetapi hasil tiada, nanti rugi. Jika mahu juga gunakan kaedah tabur kering, lebih elok tanam padi huma,” ujarnya.
Pada 2 April, pesawah di Kedah dan Perlis yang bakal memulakan musim tanaman padi 1/2026 dicadangkan menggunakan kaedah tabur terus kering berikutan penurunan paras takungan air di tiga empangan utama.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh dilaporkan berkata, langkah itu terpaksa diambil melibatkan kawasan seluas 100,641 hektar sawah susulan kekurangan hujan di kawasan tadahan sejak kebelakangan ini.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan sekiranya berlaku hujan lebat dalam tempoh terdekat dan paras takungan kembali stabil, pesawah disaran bersedia semula menggunakan kaedah penanaman yang bersesuaian.

0 Comments