Sanusi ingatkan MKK jangan prejudis, pilih kasih galas amanah

 

Oleh: Roslinda Hashim 

KUALA KETIL - Semua Majlis Ketua Kampung (MKK) perlu melaksanakan amanah dengan adil tanpa prejudis atau pilih kasih, termasuk tidak membezakan penerima bantuan berdasarkan fahaman politik.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, prinsip kepimpinan Kerajaan Negeri adalah berteraskan keadilan tanpa mengira kaum, agama atau ideologi politik.

“Saya ingin berpesan kepada MKK, jangan ada prejudis atau pilih kasih dalam melaksanakan amanah ini. Jangan pilih bulu atau warna parti. Tunaikan tanggungjawab dengan adil dan berhemah. 

“Kalau seseorang itu layak terima bantuan Kerajaan dan memang dia memerlukan, kita beri haknya. Jangan tidak beri kerana dia atau mungkin keluarganya tidak menyokong parti kita. Ketidakadilan seperti itu saya tidak benarkan.

“Jika tidak layak, walaupun penyokong kita, kita tidak boleh beri. Sebaliknya, jika dia layak walaupun penyokong kita, jangan pula takut untuk beri kerana bimbang dituduh pilih kasih. Itu juga satu kezaliman,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen dan Majlis Penyerahan Watikah MKK Negeri Kedah di Dewan Tuanku Permaisuri Hajah Haminah, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS).

Dalam pada itu, Sanusi mengingatkan MKK supaya mematuhi dasar dan prinsip Kerajaan Negeri serta memastikan penyampaian maklumat kepada rakyat dilakukan dengan jelas dan difahami.

“Bercakap biarlah mudah difahami. Ada orang cakap bahasa bunga-bunga tapi orang tak faham. Kita cakap biarlah bagi orang faham sampai ke hati dia,” katanya. 

Sanusi turut menggariskan tiga faktor yang boleh menyebabkan ‘pasaran’ sokongan rakyat runtuh, iaitu monopoli kuasa, faktor luaran dan maklumat tidak tepat.

“Pasaran kita adalah orang ramai. Kita (Kerajaan Negeri) jual servis. Kita tak ambil duit. Kita ambil sokongan. Pasaran itu boleh runtuh.

“Terlalu monopoli kuasa tak boleh. MKK ada setiausaha dan jawatankuasa dan sebarang keputusan janganlah guna kuasa veto. Monopoli kuasa akan menyebabkan kita tiada pertimbangan.

“Faktor luaran pula seperti konflik antarabangsa yang memberi kesan kepada ekonomi, manakala maklumat tidak tepat boleh merosakkan kepercayaan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua MKK supaya sentiasa menyemak dan mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber sebelum membuat keputusan.

“Jangan dengar satu pihak sahaja. Setiap maklumat perlu disemak kerana mungkin ada kepentingan pihak tertentu atau pandangan peribadi. Jadi berhati-hati dengan maklumat dan pastikan kita pertimbangkan dengan adil sebelum membuat  keputusan munasabah,” katanya.

Dalam masa sama, Sanusi menasihatkan agar pelantikan MKK tidak ditukar terlalu kerap hanya kerana perbezaan pandangan, sebaliknya biarlah diselesaikan selepas tamat penggal bagi menjaga kestabilan sokongan rakyat.

“Bukan mudah uruskan lebih 2,400 MKK dan Setiausaha. Nasihat saya jangan tukar MKK kerap sangat. Apabila MKK bantah sikit, ditukar. Ingatlah mereka juga ada kuasa undi dan jika dipecat, daripada sokong kita, dia pangkah pihak lain,” katanya.

Tambah beliau, MKK adalah jambatan antara rakyat dan kerajaan selain berperanan bukan sahaja untuk menyampaikan dasar dan inisiatif kerajaan, tetapi juga membawa suara, keperluan dan denyut nadi rakyat.

“Kerajaan Negeri mempunyai pelbagai saluran maklumat seperti Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA) dan TV Kedah yang boleh dimanfaatkan untuk menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat.

“Kita bekerja bersama-sama untuk memberi servis perkhidmatan paling baik kepada rakyat dan orang ramai,” katanya.

Tambahnya, dalam dunia yang semakin kompleks, MKK perlu menjadi pemimpin masyarakat yang responsif, berintegriti dan sentiasa dekat di hati rakyat.

Sebanyak RM13.84 juta diperuntukkan kepada MKK di seluruh Kedah bagi tahun ini, termasuk tambahan kepada MKK Kampung Baru serta elaun Tok Batin Kampung Lubuk Legong di Baling.

Kerajaan Negeri turut meneruskan program baik pulih rumah keluarga miskin dengan peruntukan RM9.1 juta tahun ini, meningkat RM2.1 juta berbanding tahun sebelumnya, dengan jumlah keseluruhan 884 rumah dibaik pulih sejak 2023.

Post a Comment

0 Comments