Oleh: Roslinda Hashim
KUALA NERUS - Rakyat diseru menolak pemimpin yang enggan bersatu demi kepentingan ummah, tegas Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.
Menurut beliau, rakyat sebenarnya sudah bersedia untuk bersatu, namun masih terdapat segelintir pemimpin yang enggan berbuat demikian sehingga menggagalkan usaha penyatuan.
“Kalau ada pemimpin yang tidak mahu bersatu, rakyat di bawah boleh menjatuhkan mereka kerana mereka dipilih oleh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pidato Penyatuan Ummah sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah kali ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026, di sini, pada Sabtu.
Mohd Nassuruddin tegaskan, perpaduan umat Islam adalah satu kewajipan yang tidak boleh dipandang ringan kerana perpecahan hanya akan melemahkan kekuatan ummah.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan parti-parti politik supaya tidak melantik pemimpin bermasalah yang cenderung mengutamakan kepentingan peribadi sehingga menjejaskan usaha penyatuan.
“Lebih baik kita berbahagi dan menang daripada kita berebut sesama sendiri, tetapi apabila bertanding, akhirnya kalah.
“Bagi mencapai perpaduan, semua pihak perlu bekerjasama dalam perkara yang dipersetujui dan bertolak ansur dalam perkara yang tidak dipersetujui,” katanya.
Tambah beliau lagi, walaupun umat Islam merangkumi kira-kira 25 peratus daripada 8.2 bilion penduduk dunia, kelemahan utama adalah kegagalan untuk bersatu.
“Asas kepada penyatuan ialah ketaatan kepada ALLAH SWT dan Rasul serta menjauhi perbalahan dan perpecahan yang boleh melemahkan kekuatan umat,” ujarnya.
Mohd Nassuruddin turut mengingatkan sabda Rasulullah SAW bahawa umat Islam akan menjadi ramai tetapi lemah, malah diibaratkan seperti buih di lautan yang mudah terlerai.
“Hadis Rasulullah SAW, umat Islam akan dikerumuni musuh seperti orang lapar mengerumuni makanan, walaupun jumlah mereka ramai tetapi tidak mempunyai kekuatan, seumpama buih di lautan.
“Walaupun macam bukit sekalipun, bila dilepuh, ia akan berkecai, inilah yang berlaku kepada kita walaupun jumlah umat Islam 2 bilion tetapi musuh berjaya memecah belahkan kita,” katanya.
Mengimbas sejarah, beliau berkata, perpecahan juga pernah berlaku dalam kalangan saudara sendiri seperti kaum Aus dan Khazraj yang berperang selama 120 tahun akibat dilaga-lagakan, sebelum disatukan oleh Nabi Muhammad SAW.
“Islam menyatukan, tetapi kita sesama Melayu yang bersaudara seperti adik beradik masih berpecah. Rakyat perlu sedar dan pemimpin perlu lebih sedar untuk memastikan perpaduan dapat dicapai. Ingatlah, kita lemah apabila berpecah,” katanya.

0 Comments