Oleh: Roslinda Hashim
KUALA NERUS - Ketelusan, kejujuran dan kesungguhan dalam kepimpinan menjadi kunci utama bagi memulihkan kepercayaan rakyat serta memperkukuhkan perpaduan nasional.
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, sebarang usaha memperkukuh perpaduan tidak boleh sekadar retorik, sebaliknya perlu disusuli tindakan nyata yang dapat dilihat dan dinilai rakyat.
“Kalau kita bercakap tentang perpaduan, pertama sekali kita perlu jujur dan tunjukkan pendekatan yang jelas kepada rakyat. Kita perlu telus dengan apa yang dilakukan dan laksanakan dengan bersungguh-sungguh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pidato Penyatuan Ummah sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah kali ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026, di sini, pada Sabtu.
Ahli Parlimen Putrajaya itu tegaskan, perpaduan bukan sahaja perlu dipupuk kalangan pemimpin, malah perlu diyakinkan kepada golongan muda agar mereka melihat kepimpinan politik sebagai satu entiti yang bersatu dan boleh dipercayai.
Katanya, dalam keadaan kepercayaan terhadap sistem politik semakin terhakis, pemimpin perlu menunjukkan komitmen tinggi bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa diutamakan.
“Pastikan seluruh negara bersatu hati dalam apa jua krisis dihadapi biarpun sukar. Jika kita mampu buktikan kejujuran dan ketelusan, rakyat pasti akan memberi kepercayaan untuk kita mengemudi negara dan melonjakkan Malaysia ke tahap lebih baik,” ujarnya.
Tambah beliau, penyatuan rakyat terserlah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu apabila sokongan orang Melayu kepada Perikatan Nasional (PN) meningkat susulan kepimpinan telus yang ditunjukkan.
“Apabila PN dikhianati oleh ahli parlimen yang menarik sokongan dalam keadaan kita bersatu, pada ketika itu hampir kesemua parti Melayu bergabung namun UMNO/BN menarik diri, akhirnya keputusan PRU15 menyaksikan hampir keseluruhan orang Melayu beri sokongan kepada PN selepas melihat kesungguhan kita,” katanya.
Beliau turut mengambil contoh krisis global yang turut mencetuskan gelombang nasionalisme baharu di banyak negara, termasuk peningkatan sokongan rakyat terhadap parti yang dahulunya dianggap rasis seperti One Nation Party di Australia.
“Wujud nasionalisme baharu di seluruh dunia, iaitu rasa sayang kepada negara yang cukup berbeza.
Situasi di Iran juga membuktikan krisis mampu menyatukan dua kelompok (satu menentang kerajaan dan satu lagi menyokong kerajaan) berdepan ancaman luar, dengan ketepikan perbezaan demi kelangsungan negara.
“Ini menunjukkan krisis boleh menyatukan atau memecah-belahkan. Ia bergantung kepada bagaimana kita menguruskan krisis tersebut,” katanya.
Tambah Mohd Radzi, perkembangan teknologi khususnya media sosial turut menjadi cabaran baharu kerana ia mampu menjadi alat penyatuan atau sebaliknya mencetuskan perpecahan.
Sehubungan itu, beliau tegaskan, pemimpin politik perlu lebih realistik dalam menangani cabaran semasa, termasuk persepsi negatif rakyat terhadap institusi politik yang semakin menular.
“Sebab itu bila bercakap tentang perpaduan, kita tidak boleh retorik. Cabaran paling besar adalah untuk meyakinkan rakyat bahawa kelompok politik, organisasi politik adalah pejuang.
“Rakyat, politik, mana-mana organisasi dan pemimpin perlu ada kejujuran, perpaduan dan ketulusan menjelaskan perkara sebenar. Ia perlu disusuli dengan tindakan atau kesungguhan ke arah penyatuan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengkritik tahap ketelusan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim khususnya dalam isu penetapan harga diesel yang menurutnya menimbulkan persoalan kalangan rakyat.
“Rakyat tertanya-tanya dan mahu tahu bagaimana harga itu dikira. Bila tiada ketelusan, maka akan timbul keraguan dan kritikan,” katanya.
Mengimbas pengalamannya ketika menjawat Menteri Pendidikan semasa pandemik Covid-19, katanya, ketelusan kerajaan ketika itu memainkan peranan penting dalam mengekalkan keyakinan rakyat.
“Walaupun sukar uruskan lebih 10,000 buah sekolah dalam keadaan kes meningkat, kita telus, kita tak sorok. Kejujuran kerajaan ketika itu menjelaskan situasi sebenar, dengan data-datanya.
“Kepimpinan Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menguruskan pandemik COVID-19 terlalu berbeza dengan apa yang berlaku pada hari ini,” katanya.

0 Comments