Oleh: Roslinda Hashim
KUALA NERUS - Kelemahan umat Islam hari ini bukan berpunca daripada kekuatan musuh, sebaliknya akibat perpecahan sesama sendiri yang berlarutan dan tidak berkesudahan.
Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Dato’ Seri Mukhriz Mahathir berkata, kesilapan terbesar umat Islam ialah memilih untuk berpecah dan berlumba merebut kuasa sehingga mengabaikan kesilapan serta membiarkan persengketaan lama terus membarah.
“Inilah sebabnya umat kita lemah, bukan kerana senjata musuh tetapi kerana dinding yang memisahkan kita sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pidato Penyatuan Ummah sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah kali ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026, di sini, pada Sabtu.
Menurut bekas Menteri Besar Kedah itu, umat Islam perlu segera menghentikan perpecahan, meninggalkan persengketaan lama dan kembali bersatu di bawah satu panji tauhid.
“Bangkit sebagai satu ummah. Bila kita berdiri bersama, dunia akan gentar dan kemenangan itu akan menjadi milik kita, insya-ALLAH,” ujarnya.
Mukhriz turut menyeru agar segala perbezaan pandangan diserahkan kepada para ulama, manakala umat Islam secara keseluruhan perlu memberi keutamaan kepada perpaduan seperti ditunjukkan para sahabat Nabi Muhammad SAW yang tetap bersatu walaupun berbeza pendapat.
“Bangkitlah kita bersatu di bawah panji Islam bagi menentang zionis, musuh kita bersama. Marilah kita bina perpaduan seperti para sahabat yang walaupun berselisih pedapat namun berdiri sepasukan untuk baginda.
“Hentikan pengibaran panji yang memecah-belahkan, hentikan buruk sangka dan kutukan sesama kita. Apabila ALLAH SWT perintahkan kita untuk bersatu, bangunlah seperti singa dan bangkit dengan tauhid sebagai satu ummah,” katanya.
Beliau tegaskan, perpaduan tidak bermaksud keseragaman, sebaliknya menuntut keutamaan terhadap kepentingan ummah mengatasi ego dan perbezaan mazhab.
“Musuh tidak peduli sama ada kita Sunni atau Syiah. Mereka hanya melihat kita sebagai Muslim.
Penindasan yang berlaku di Palestin, Gaza, Kashmir dan Yaman membuktikan bahawa kekejaman tidak memilih mazhab, sebaliknya menimpa umat Islam secara keseluruhan.
“Percayalah, apabila kita bertindak bersama termasuk penyatuan Sunni dan Syiah serta semua yang beriman, sebaris dalam satu saf, dunia akan gementar dan kemenangan itu milik kita,” ujarnya.
Tambah beliau, elakkan perbezaan pandangan membutakan pandangan gara-gara sifat angkuh dan sombong sehingga sanggup berhujah tanpa henti, khususnya berkaitan perkara remeh.
Beliau turut mengakui peranan dan pengorbanan sebahagian kelompok Syiah dalam menentang penindasan, khususnya di Palestin dan Lubnan, sambil menegaskan keadilan tidak boleh dinafikan hanya kerana perbezaan teologi.
“Meskipun saya berpegang teguh kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah, saya tidak nafikan peranan dan pengorbanan sebahagian kelompok Syiah dalam menentang penindasan.
“Jangan kerana perbezaan mazhab atau pegangan kita menafikan keadilan. Ada antara mereka ikhlas berjuang dan berkorban untuk umat. Saya akui ada segelintir menghina Sahabat Nabi serta mencetuskan konflik sesama umat, namun tidak semua dalam kelompok itu boleh dianggap secara umum,” katanya.
Pada masa sama, Mukhriz turut mengkritik sikap segelintir pihak yang terlalu mengutamakan sempadan negara berbanding kesatuan umat Islam global, yang menurutnya berpunca daripada warisan penjajahan.
“ALLAH SWT tidak menyebut umat berdasarkan negara, tetapi umat yang satu. Kita yang meletakkan sempadan itu lebih tinggi daripada kesatuan akidah,” ujarnya.
Tambah beliau, keadilan juga menuntut agar sekutu diiktiraf berdasarkan prinsip yang diperjuangkan walaupun berbeza agama dan akidah, antaranya sokongan sebahagian masyarakat Kristian di Barat dan Lubnan yang lantang menentang kezaliman terhadap Palestin.

0 Comments