KECAMAN KONVOI & ISU MINYAK: TANDA PEMIKIRAN SEMPIT, MODAL POLITIK MURAHAN

 

Oleh: Dr. Haim Hilman Abdullah

Pengerusi Lajnah Ekonomi & Keusahawan PAS,

ADUN Jitra

Cubaan segelintir pemimpin PH mengaitkan konvoi peserta Ijtimak Perpaduan Melayu dengan isu pembaziran akibat kenaikan harga minyak memberi  gambaran jelas tentang betapa naif dan ceteknya pemikiran mereka dalam membaca realiti politik rakyat. 

Apabila himpunan besar berlangsung dengan kehadiran yang tulen dan semangat tinggi, mereka gagal melihat makna sebenar dengan memilih untuk memutar naratif kepada isu minyak, seolah-olah ia boleh merendahkan nilai kebangkitan tersebut.

Hakikatnya, peserta konvoi itu adalah peserta sebenar yang hadir ke program, disusun secara teratur  bergerak dari Dataran Batu Buruk ke Kompleks Sukan Negeri Terengganu sejauh 9 kilometer sebagai sebahagian perjalanan ke tapak ijtimak. 

Itu bukan pembaziran, bukan gimik, jauh sekali simbol kealpaan terhadap isu rakyat. Ia adalah atur cara mobilisasi, sesuatu yang lazim dalam mana-mana himpunan besar.

Namun pemimpin PH cuba mengaitkan konvoi ini dengan harga minyak, mereka sebenarnya melakukan kesilapan besar,  menyerlahkan kelemahan sendiri dalam memahami keutamaan rakyat dan sifat sebenar perjuangan politik.

Berikut 5 hujah yang bukan sahaja menafikan tuduhan tersebut, malah mengangkat imej PN dengan lebih positif:

1 - Konvoi 9 km bukan pembaziran tetapi sebahagian daripada logistik program.

Pergerakan itu adalah jarak minimum dalam konteks perjalanan ke lokasi utama program. Ia bukan perjalanan sia-sia, tetapi sebahagian daripada laluan ke tapak ijtimak. Dalam mana-mana program berskala besar, penyusunan pergerakan seperti ini perkara biasa demi kelancaran dan keselamatan. Mengaitkan ia dengan isu minyak hanyalah cubaan memperkecilkan sesuatu yang bersifat teknikal.

2 - Peserta datang secara sukarela.

Itu bukti keyakinan, bukan pembaziran. Dalam keadaan harga minyak meningkat, kehadiran ribuan peserta tetap berlaku. Ini memberi mesej sangat kuat, iaitu rakyat masih sanggup berkorban masa, tenaga dan kos sendiri kerana percaya kepada perjuangan. Jika benar isu minyak begitu menekan hingga menghalang segalanya, maka program seperti ini tidak akan mendapat sambutan sebegitu.

3 - PH gagal bezakan antara isu kos sara hidup dan aktiviti rakyat.

Mengaitkan konvoi dengan harga minyak menunjukkan kegagalan PH memahami isu kos sara hidup adalah perkara dasar yang perlu ditangani dengan polisi, bukan dijadikan bahan sindiran terhadap aktiviti rakyat. Rakyat boleh hadapi tekanan kos hidup, dan pada masa sama menyertai program yang mereka percaya ini bukan kontradiksi tetapi realiti kehidupan.

4 - Serangan ini bukti PH ketandusan isu substantif terhadap PN.

Jika benar PN lemah atau gagal, serangan sepatutnya datang pada dasar, polisi, atau rekod pentadbiran. Tetapi apabila yang diserang hanyalah konvoi 9 km dan kaitannya dengan minyak, itu jelas menunjukkan PH sudah kehabisan peluru politik. Mereka tidak lagi menyerang idea tetapi menyerang persepsi.

5 - Yang diserang sebenarnya semangat rakyat bukan sekadar konvoi.

Apa yang lebih membimbangkan, apabila pemimpin PH cuba memperlekeh konvoi ini, mereka sebenarnya sedang memperlekeh semangat rakyat biasa yang hadir dengan kesungguhan. Rakyat tidak melihat konvoi itu sebagai pembaziran. Rakyat melihatnya sebagai kebersamaan, kesatuan dan simbol sokongan.

Diyakini apabila itu yang diserang, ia boleh berbalik menjadi simpati kepada PN kerana rakyat akan merasakan suara dan semangat mereka dipandang rendah.

Akhirnya, cubaan mengaitkan konvoi dengan harga minyak bukan sahaja gagal melemahkan PN, malah menyerlahkan kelemahan pemikiran pihak yang menyerang.

Mereka tidak lagi berbicara tentang dasar, mahupun mampu menangkis gelombang sokongan. Atas sebab itu, mereka memilih untuk berpaut kepada isu kecil yang tidak memberi makna besar kepada rakyat.

Apa yang perlu digusarkan Kerajaan hari ini adalah kelemahan dan lewat bertindak khususnya berkaitan perancangan dan pelaksanaan pakej mapan untuk membantu rakyat, pemain industri khususnya sektor pengangkutan serta SME sektor pembuatan yang terkesan akibat kenaikan harga minyak.

Post a Comment

0 Comments