SANUSI PERTAHAN KONVOI UMMAH BUKAN PEMBAZIRAN, SELAR KRITIKAN NURUL IZZAH

 

Oleh: Roslinda Hashim 

KUALA KETIL - Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempertahankan penganjuran konvoi motosikal Perikatan Nasional (PN) Sabtu lalu sebagai membawa satu agenda besar, bukannya suatu pembaziran.

Beliau turut menyifatkan kritikan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar terhadap program itu sebagai tidak berasas.

Malah Sanusi menegaskan, kehadiran luar biasa peserta membuktikan sokongan akar umbi PN masih kukuh.

“Peserta sanggup mengeluarkan wang sendiri untuk isi minyak motosikal kerana merasakan terdapat isu lebih besar yang sedang membebankan negara ketika ini.

“Bagi mereka, berbanding harga minyak, ada perkara lain yang lebih penting iaitu kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang pada pandangan mereka perlu diturunkan pada PRU akan datang.

“Kehadiran mereka itu juga adalah bagi menyokong usaha memperkukuh perpaduan ummah, khususnya penyatuan Islam dan Melayu, sebab itu mereka datang beramai-ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen dan Majlis Penyerahan Watikah Majlis Ketua Kampung (MKK) Negeri Kedah di Dewan Tuanku Permaisuri Hajah Haminah, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), hari ini.

Sanusi turut menyelar kritikan Nurul Izzah yang menyifatkan konvoi itu sebagai pembaziran.

“Minyak subsidi ini sudah ada sejak 1983, diperkenalkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan digunakan rakyat sehingga hari ini. Bukan masa zaman Kerajaan Madani sahaja, jangan perasan,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan pihak yang mempertikaikan penggunaan minyak oleh peserta konvoi, dengan membandingkan penggunaan minyak motosikal yang jauh lebih rendah berbanding kenderaan lain seperti helikopter.

“Pimpinan PKR pun guna minyak subsidi, naik helikopter lagi guna minyak banyak. Motosikal satu kilometer berapa sen ja, banding dengan minyak helikopter berbelas ribu. Kalau orang mula banding macam itu, kot pening (nak jawab),” katanya.

Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS mengingatkan agar pimpinan PKR menyelesaikan terlebih dahulu masalah dalaman parti itu sebelum mengkritik pihak lain.

“Beritahu adinda Nurul Izzah, selesaikan dahulu masalah dalam ‘rumah tangga’ sendiri. Jangan sibuk dengan program orang lain.

“Apabila masalah parti diheret menjadi masalah kerajaan dan akhirnya masalah negara, semuanya jadi berselerak dan rakyat yang menanggung kesan,” katanya.

Pada Sabtu, konvoi motosikal PN melibatkan ribuan peserta diketuai Menteri Besar dari Perlis, Terengganu, Kedah dan Kelantan diadakan sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di Kompleks Sukan Terengganu.

Sanusi turut menyamakan semangat peserta konvoi dengan usaha rakyat Iran yang sanggup berkorban melawan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

“Kenapa mereka sanggup? Sebab mereka melihat bahaya kejahatan AS dan Israel lebih besar daripada kesan kehilangan harta benda mereka. 

“Sama juga dengan kami. Bahaya politik PH dan BN ketika ini lebih besar daripada habis duit poket untuk beli minyak motosikal,” katanya.

Nurul Izzah sebelum ini mengkritik acara konvoi tersebut, dan menyifatkannya sebagai pembaziran besar-besaran ketika dunia berdepan krisis tenaga global.

Beliau dipetik berkata, kerajaan di seluruh dunia sedang bertindak menangani krisis bahan api dengan menjimatkan penggunaan, membina simpanan dan mempersiapkan ekonomi masing-masing menghadapi ketidaktentuan yang berpanjangan.

Post a Comment

0 Comments