Oleh: Roslinda Hashim
SHAH ALAM - Lebih 10,000 anak Kedah di perantauan sekitar Lembah Klang memeriahkan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Anak Kedah di Perantauan yang berlangsung meriah di sini, hari ini.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, majlis yang dianjurkan bertujuan mengeratkan hubungan serta ukhuwah antara rakyat Kedah di perantauan bersama kepimpinan Kerajaan Negeri Kedah, selain sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan berterusan mereka kepada agenda pembangunan negeri.
Menurutnya, penganjuran program itu turut menjadi wadah mengubat kerinduan anak Kedah terhadap kampung halaman melalui hidangan 12 menu tradisional asli negeri itu.
“Diaspora Kedah telah mendunia. Banggalah jadi orang Kedah. Kita ada bahasa kita, cara kita, budaya kita yang penuh kasih sayang. Marilah kita suburkan budaya dan tradisi orang Kedah walau di mana juga berada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Anak Kedah di Perantauan di sini, hari ini.
Sanusi turut menyeru anak Kedah agar terus mempertahankan identiti, budaya dan cara hidup masyarakat negeri itu tanpa terpengaruh dengan pandangan luar.
“Kita kekalkan kehebatan kita, tak usah peduli cakap orang lain. Kita hidup cara kita, kita pertahankan negeri kita, budaya kita. Kita hebat dalam semua perkara dengan cara kita sendiri,” katanya.
Beliau dalam masa sama mengajak anak Kedah di perantauan untuk terus saling menyokong dan mengeratkan hubungan sesama sendiri.
“Marilah kita hidup bersama, saling membantu dan berkasih sayang. Insya-ALLAH akan dilimpahkan rezeki dan dipermudahkan urusan hidup kita semua,” katanya.
Sanusi turut menegaskan kekuatan negeri Kedah yang sinonim sebagai jelapang padi negara, yang menurutnya memainkan peranan besar dalam jaminan bekalan makanan negara.
“Orang Kedah menghasilkan padi dan beras untuk seluruh negeri. Jika tiada import, negara akan bergantung sepenuhnya kepada Kedah untuk sesuap nasi. Itu kehebatan kita,” katanya.
Menurutnya, walaupun sektor pertanian tidak menjanjikan kekayaan besar, ia tetap menjadi asas kepada sumbangan besar negeri dalam bentuk budi dan tanggungjawab kepada negara, termasuk kemampuan menunaikan zakat padi.
Majlis anjuran Pertubuhan Himpunan Anak Kedah Darul Aman Diperantauan (HANDAL) itu turut mendapat sokongan pelbagai agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri termasuk Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Syarikat Air Darul Aman (SADA) dan Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK), selain penglibatan usahawan serta anak Kedah di Lembah Klang.

0 Comments