Oleh: Roslinda Hashim
MELAKA - PAS melabel Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh sebagai 'budak catur' kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini kerana Muhamad Akmal dilihat lantang mengkritik DAP, namun hakikatnya hanya memainkan peranan yang ditentukan oleh kepimpinan parti.
Tambah beliau, segala hala tuju dan keputusan utama parti itu tetap ditentukan oleh kepimpinan tertinggi parti, termasuk naratif politik UMNO berhubung kerjasama dengan DAP yang disifatkan tidak konsisten dan sukar dipercayai.
“Akmal bukan kuat, suara saja deras. Dia jadi budak catur Zahid Hamidi. Nampak cengei tapi jadi budak catur.
“Bos dia, Khairy Jamaludin pun tak tahu nak pergi mana. Akhirnya masuk UMNO semula. Dia kata nak mari tanding di Kedah. Saya kata mai lah, nak tengok orang Kedah kata apa,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Negeri Melaka, di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Muhamad Akmal membalas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu dengan menegaskan, beliau bukan ‘sekadar budak catur’ seperti dilabel sebaliknya individu yang konsisten mempertahankan agama, bangsa dan prinsip perjuangan parti.
“Saya bukan sekadar budak catur, tetapi juga antara yang sedia pertahankan agama, bangsa serta prinsip perjuangan parti.
“Budak catur ini bukan setakat lawan DAP dalam ceramah sahaja, saya ada dua kes mahkamah lawan pemimpin DAP. Jadi kalau sampai di mahkamah pun kita boleh lawan, YAB (Datuk Seri) Muhammad Sanusi cakap kita budak catur, terpulanglah," katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu turut melahirkan kekecewaan terhadap kandungan ceramah Sanusi yang disifatkan lebih menjurus kepada serangan peribadi berbanding membawa cadangan membangunkan Melaka.
Muhamad Akmal turut meminta agar Sanusi menasihati ADUN Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis, yang kini menyertai PAS, berhubung kehadiran ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
"Jumaat lalu Speaker DUN, Datuk Ibrahim Durum maklumkan YB Rembia cuti sakit tiga bulan kerana kaki retak, tetapi malam semalam boleh hadir ceramah PAS,” katanya sinis.

0 Comments