Oleh: Abdul Razak Khamis
Timbalan Speaker DUN Kedah
Bahang konflik yang berlarutan di Asia Barat sekarang ini sudah mula sampai kepada kita, khususnya melalui sektor makanan, yang sekali gus melibatkan nasib para pesawah padi. Bagi negeri Kedah, yang sekian lama dikenali sebagai ‘jelapang padi negara’, kesan itu mungkin lebih besar daripada yang kita jangka.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, baru-baru ini menyatakan bahawa bekalan makanan negara ketika ini mencukupi dan stabil. Namun beliau turut mengingatkan bahawa harga makanan boleh berubah apabila bekalan semasa habis dan digantikan dengan stok baharu yang masuk mengikut harga pasaran semasa.
Kenyataan ini memberi sedikit kelegaan, tetapi pada masa yang sama menimbulkan persoalan penting: mencukupi untuk berapa lama? Adakah bekalan itu mampu bertahan selama beberapa bulan, atau hanya beberapa minggu?
Ini bukan soalan remeh. Konflik Asia Barat menunjukkan tanda-tanda tidak akan reda dalam masa terdekat. Malah ramai penganalisis ekonomi melihatnya berpotensi menjadi konflik berpanjangan yang akan terus mengganggu bekalan minyak global, rantaian logistik dan harga input pertanian di seluruh dunia.
Malaysia mungkin baru merasai kesan awal. Gelombang sebenar kemungkinan belum tiba.
Kedah mempunyai keluasan sawah yang besar dan memainkan peranan penting dalam bekalan beras negara. Daripada keseluruhan kawasan sawah di negeri ini 100,641 hektar berada dalam kawasan MADA dan sekitar 32,000 hektar lagi di luar MADA. Kawasan dalam MADA menikmati sistem pengairan yang lebih tersusun, jaringan sokongan teknikal serta beberapa bentuk bantuan operasi. Namun kawasan di luar MADA tidak menikmati tahap sokongan yang sama. Inilah kelompok pesawah yang sering terpinggir dalam perbincangan dasar.
Namun realitinya, kawasan luar MADA tetap menyumbang kepada pengeluaran padi negara dan memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan beras tempatan mencukupi.
Kepada pesawah kesan ketara krisis yang berlaku sekarang ialah: kos baja yang lebih mahal, kos jentera lebih tinggi dan kos pengangkutan hasil yang bertambah. Bagi pesawah kecil yang margin keuntungannya memang sudah cukup tipis, peningkatan kos ini boleh menjadi tekanan yang sangat besar.
Jika kenaikan kos input belum cukup mencabar, pesawah Kedah kini berhadapan pula dengan kemarau yang menjejaskan jadual penanaman padi. Sebagai langkah proaktif pihak MADA telah menyarankan pesawah menggunakan kaedah tabur terus kering bagi musim semasa.
Kaedah ini boleh membantu pesawah menanam padi tanpa menunggu air mencukupi di petak sawah. Namun kaedah tersebut juga mempunyai kesan sampingan kerana dengan kaedah tabur terus kering, hasil purata dijangka turun kepada sekitar empat tan sehektar.
Di luar MADA, keadaan lebih menuntut perhatian, selain kos meningkat, hasil yang berpotensi merosot akibat kemarau, akses kepada infrastruktur pengairan yang sangat terhad mereka juga tidak menikmati sokongan teknikal secukupnya sebagaimana rakan-rakan di kawasan MADA.
Agak sukar membayangkan bagaimana mereka hendak berdepan cabaran-cabaran yang meningkat ini sedangkan hasilnya sangat tidak menentu.
Jika keadaan ini berlarutan, ada risiko sebahagian petak sawah menjadi tidak ekonomik untuk diusahakan.
Apabila sawah tidak lagi diusahakan, pengeluaran padi tempatan akan merosot, dan suka atau tidak negara akan semakin bergantung kepada beras import.
Ini membawa dua implikasi besar:
Pertama, harga beras import sendiri tidak stabil kerana pasaran global juga terjejas oleh konflik geopolitik dan perubahan iklim.
Kedua, apabila kebergantungan kepada import meningkat, harga beras dalam negara akan menjadi lebih terdedah kepada kejutan luar.
Akhirnya beban itu akan kembali kepada rakyat dalam bentuk kenaikan harga makanan.
Dalam situasi yang semakin mencabar ini, saya berharap kerajaan perlu bertindak lebih awal sebelum masalah menjadi lebih besar. Tak perlulah nak kaji banyak-banyak sangat. Tak perlu mengharap konflik Asia Barat segera berakhir. Kita buat dulu apa yang perlu dan boleh.
Disember lalu Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) meminta kerajaan menaikkan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) kepada RM800 per tan berbanding RM500 ketika ini bagi menampung kos pengeluaran yang terus meningkat.
Ketika itu Amerika Syarikat dan Israel belum memulakan kerja jahatnya menyerang Iran. Belum terjadi krisis. Kini selepas terjadinya krisis tersebut angka RM800 itu pun dengan sendirinya bertukar menjadi tidak memadai. Jadi mempertimbangkan permintaan itu, walaupun dengan kadar yang diminta, menjadi pilihan terbaik untuk kerajaan buat masa ini.
Harus diingat, apa yang berlaku di sawah hari ini akan menentukan harga beras di dapur rakyat beberapa bulan akan datang, dan jika kita mahu memastikan petak-petak sawah terus mengeluarkan hasil dan bekalan beras negara kekal stabil, nasib pesawah tidak boleh diambil mudah.
Itu saja.

0 Comments