Oleh: Roslinda Hashim
LANGKAWI - Lebih 150 buah rumah dilaporkan rosak akibat dilanda ribut di beberapa kawasan sekitar Kedah sejak kebelakangan ini.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kejadian hujan lebat berserta angin kencang itu turut menyebabkan bumbung rumah penduduk diterbangkan, sekali gus menjejaskan kehidupan harian mangsa.
“Sekarang Kedah sudah mula dilanda hujan, ada tempat lebat dengan angin sekali sampai ribut, rumah pun terangkat bumbung.
“Mereka pun cerita ‘hang pi mana? Tak turun mai Pendang, tak mai Padang Terap’. Mereka nak suruh MB naik bumbung paku atap kot, bila tak buat macam tu, mereka kata macam (saya) tak ada.” katanya secara berseloroh.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia 2026 Peringkat Negeri Kedah di Dataran Pantai Chenang, di sini hari ini.
Sanusi jelaskan, pelbagai agensi kerajaan, badan kebajikan serta sukarelawan termasuk yang ditubuhkan oleh parti-parti politik telah digerakkan ke lokasi terjejas bagi membantu mangsa ribut.
Katanya, selain kejadian melibatkan 150 buah rumah di Pendang, ribut turut melanda kawasan Felda Lubuk Merbau minggu lalu dengan terbaharu lima buah lagi rumah terjejas.
“Kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan terlibat kini giat mengumpul maklumat serta sumber bagi mempercepatkan kerja-kerja pembaikan rumah,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa kejadian ribut yang datang bersama hujan perlu dilihat sebagai ujian yang menuntut kesabaran.
“Kali ini, air (hujan) datang bersama angin, inilah nikmat yang diperturunkan ALLAH SWT sekali dengan ujian (ribut), kita harus sabar dan reda,” katanya.

0 Comments