PETRAN-SIDS TINGKATKAN KAPASITI BEKALAN AIR 45 JUTA LITER SEHARI DI LANGKAWI

 

Oleh: Roslinda Hashim 

LANGKAWI - Kedah bakal melaksanakan projek berteknologi tinggi, Sistem Infiltrasi Dasar Sungai (PETRAN-SIDS) di Lembangan Sungai Melaka di sini, yang dijangka meningkatkan kapasiti bekalan air mentah sehingga 45 juta liter sehari.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, projek bernilai RM240 juta itu akan dilaksanakan dalam tempoh 21 bulan sebagai langkah memastikan keterjaminan sumber air negeri secara mampan.

Menurut beliau, PETRAN-SIDS berfungsi sebagai sistem simpanan air dalam sungai selain menjadi alternatif kepada konsep empangan bawah tanah (underground dam) yang dicadangkan sebelum ini.

“Projek ini mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam mengimbangi pembangunan dan kelestarian alam sekitar melalui penggunaan teknologi moden,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia 2026 Peringkat Negeri Kedah di Dataran Pantai Chenang, di sini hari ini.

Sanusi berkata, projek yang dicadangkan oleh Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) kepada Jabatan Bekalan Air di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) itu turut mengintegrasikan pelbagai komponen penting.

“Antaranya termasuk kawalan tebatan banjir bagi mengurangkan risiko limpahan air, penjanaan tenaga boleh diperbaharui melalui sistem mini hidro serta mitigasi banjir puing untuk melindungi kawasan sekitar,” katanya.

Selain itu, projek tersebut akan memanfaatkan teknologi pintar seperti sistem telemetri, Supervisory Control and Data Acquisition (SCADA) serta Internet of Things (IoT) bagi meningkatkan kecekapan pengurusan sumber air.

Beliau memaklumkan, Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) terus komited memastikan bekalan air mentah mencukupi melalui perancangan strategik berterusan yang menekankan pendekatan inovatif dan berteknologi tinggi.

“Pengurusan sumber air tidak hanya tertumpu kepada pembangunan infrastruktur, tetapi turut melibatkan pemuliharaan sungai, pengurusan lembangan secara bersepadu serta penglibatan komuniti.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan sumber air kekal bersih, mencukupi dan berdaya tahan menghadapi perubahan iklim,” katanya.

Tambah Sanusi lagi, LSANK turut melaksanakan Projek Bekalan Sumber Air Alternatif menerusi inisiatif menaik taraf telaga sedia ada serta pembinaan telaga baharu di masjid, surau dan sekolah sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Inisiatif ini penting bagi membantu mengatasi ketidakcukupan bekalan air khususnya di kawasan luar bandar. LSANK turut mengalu-alukan sekiranya mana-mana pihak berminat mewujudkan telaga tiub bagi menampung keperluan bekalan air,” katanya.

Dalam pada itu, Sanusi menegaskan sebagai destinasi pelancongan utama, Langkawi memerlukan penguatkuasaan lebih serius terhadap aktiviti di perairan bagi menjamin kelestarian sumber selain menjana hasil kepada negeri.

“Pendekatan pengurusan sumber air secara bersepadu perlu diperkukuh melalui pemantauan berterusan paras empangan, kempen kesedaran penggunaan air secara berhemah serta tindakan penguatkuasaan terhadap pencemaran sumber air,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa Kedah sebagai jelapang padi negara amat bergantung kepada kestabilan bekalan air, terutama bagi sektor pertanian dan kegunaan domestik.

“Perubahan iklim tidak menentu, kemarau berpanjangan serta taburan hujan tidak sekata memberi kesan langsung kepada sumber air dan paras empangan. Tanpa pengurusan rapi, kita berisiko berdepan kekurangan bekalan dan pencemaran,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak memainkan peranan dalam memastikan kelestarian sumber air terus terpelihara demi kesejahteraan generasi akan datang.

Tema sambutan Hari Air Sedunia 2026, iaitu ‘Water and Gender’ mencerminkan komitmen berterusan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan sumber air secara lestari.

Program ini menggabungkan elemen rekreasi, pendidikan dan penglibatan komuniti agar mesej berkaitan kepentingan air dapat disampaikan secara lebih berkesan, selain menjadi platform memperkukuh kerjasama dan menyemai rasa tanggungjawab kalangan masyarakat.

Post a Comment

0 Comments