PENYATUAN UMMAH KUNCI KUKUHKAN KUASA, BUANG EGO DAN KEPENTINGAN PERIBADI


 Oleh: Roslinda Hashim 

KUALA NERUS - Semua pihak diseru membuang sikap ego dan kepentingan peribadi, sebaliknya meletakkan kepentingan agama sebagai keutamaan bagi merealisasikan penyatuan ummah.

Presiden Parti Berjasa Malaysia (Berjasa), Ustaz Zamani Ibrahim berkata, usaha penyatuan hanya mampu dicapai sekiranya semua pihak bersedia duduk semeja dengan hati terbuka untuk merangka strategi yang jelas dan berkesan.

Menurutnya, penyatuan adalah kunci utama untuk mendapatkan dan mengukuhkan kuasa, namun usaha tersebut tidak akan berlaku dengan sendiri tanpa penggerak yang jelas.

“Semua orang bercakap tentang penyatuan, tetapi tanpa kuasa penggerak, ia tidak akan berlaku. Kitalah selaku pemimpin parti politik Melayu dan NGO Melayu, termasuk pihak di luar sana, yang perlu menggerakkan usaha ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pidato Penyatuan Ummah sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah kali ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026, di sini, pada Sabtu.

Zamani berkata, pemimpin parti politik Melayu dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu memainkan peranan sebagai penggerak utama dalam menjayakan agenda tersebut.

“Kita perlu rangka strategi untuk terjemahkan penyatuan itu, di mana kita dapat kembali meletakkan kuasa, yang mempunyai kuasa pula mampu menguasai dan akhirnya mampu menjaga agama,” katanya. 

Menurutnya, penyatuan amat penting bagi memastikan kuasa yang dimiliki umat Islam dapat digunakan untuk menguasai dan mempertahankan agama.

“Islam itu adalah asas, manakala kuasa merupakan penjaga kepada agama. Terdapat dua bentuk kuasa, iaitu kuasa yang mampu digunakan untuk menguasai dan mempertahankan agama, serta kuasa yang wujud tetapi tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk menguasai.

“Apabila kuasa hilang atau tidak dimanfaatkan, maka runtuhlah agama,” katanya.

Tambah beliau, situasi semasa menunjukkan orang Melayu Islam mempunyai kuasa di Parlimen, namun persoalannya sama ada kuasa tersebut benar-benar digunakan untuk menguasai atau sekadar wujud tanpa dimanfaatkan sepenuhnya.

“Jika ada kuasa lain lebih dominan yang menguasai dan banyak perkara tidak mampu menggunakannya, maka sedarlah agama kita ketika ini tidak lagi mempunyai penjaga yang sebenar. 

“Agama telah kehilangan kuasa untuk menjaga agama, kita tidak boleh lagi bersikap lemah. Untuk dapatkan kuasa, perlukan penyatuan,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau menyifatkan pertemuan meja bulat yang diadakan sebelum itu sebagai permulaan yang baik, namun menegaskan ia tidak boleh terhenti setakat sembilan resolusi sahaja.

“Usaha ini perlu diteruskan dengan perbincangan lebih terperinci melibatkan strategi, objektif dan pelaksanaan sehingga penyatuan benar-benar dapat direalisasikan,” katanya.

Zamani turut mengajak semua pihak mendoakan kekuatan dan kesihatan para pemimpin agar dapat terus berunding dan bekerjasama demi mencapai matlamat tersebut.

“Saya optimis dengan kesungguhan semua pihak, penyatuan ummah mampu dicapai, kita akan lihat hasilnya dalam tempoh terdekat, termasuk menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” katanya.

Post a Comment

0 Comments