PERKONGSIAN KUASA, TERIMA KELEMAHAN PARTI LAIN ASAS PENYATUAN UMMAH

 

Oleh: Roslinda Hashim

KUALA NERUS - Kesediaan berkongsi kuasa dan berlapang dada menerima kelemahan pihak lain merupakan asas utama bagi menjayakan penyatuan ummah agar mendapat sokongan rakyat.

Pengerusi Gabungan Nasionalis, Aminuddin Yahaya berkata, tanpa keberanian politik untuk berkongsi kuasa, usaha membela kepentingan orang Melayu dan Islam akan terus berdepan kesukaran.

“Pertama, kita mesti bersedia berkongsi kuasa. Ini bukan perkara mudah bagi parti politik, namun kita tiada pilihan jika mahu melihat orang Melayu mendapat pembelaan sebaiknya.

“Kedua, kita perlu menerima kelemahan pihak lain. Jangan anggap kita sahaja terbaik, sebaliknya berlapang dada dan memaafkan kekurangan atau kesilapan rakan (parti) demi membawa agenda perpaduan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pidato Penyatuan Ummah sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah kali ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026, di sini, pada Sabtu.

Menurutnya, antara halangan terbesar ke arah penyatuan adalah stigma dalam kalangan parti politik yang enggan berkongsi kuasa kerana masing-masing mahu menguasai sepenuhnya kerusi Parlimen.

“Selagi tiada keberanian dan ‘political will’ untuk berkongsi kuasa, amat sukar untuk kita capai perpaduan sebenar,” ujarnya.

Aminuddin tegaskan, tanpa perpaduan yang kukuh, sukar untuk melihat perkembangan dan penghayatan Islam serta kemajuan orang Melayu dalam negara ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa pemimpin parti politik mengemukakan agenda perpaduan yang jelas untuk dinilai rakyat selain untuk mendapat sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Tiada ertinya perpaduan jika sekadar untuk mendapatkan kuasa tanpa agenda jelas dalam membangunkan Melayu dan Islam. Dengarlah suara rakyat dan NGO, libatkan kami kerana kami juga ada pakar serta penyelidik dalam pelbagai bidang,” katanya.

Beliau turut menyifatkan tahap perpaduan pada ketika ini sebagai kritikal dan memberi amaran bahawa kegagalan menjadikannya agenda utama boleh menjejaskan masa depan orang Melayu pada pilihan raya akan datang.

“Apa akan jadi pada orang Melayu? Kita tengok orang lain selepas mereka dapat kuasa, terus sahaja laksana agenda mereka sehingga kita terpaksa berjuang untuk hak kita,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin tegaskan, perpaduan tidak seharusnya sekadar slogan, sebaliknya perlu disertai misi dan agenda yang jelas dalam semua aspek termasuk pendidikan, ekonomi dan bahasa.

“Sebab itu bukan setakat perpaduan, yang lebih penting adalah misi dan agenda perpaduan itu. Jika kita tidak jelas apa yang mahu dicapai melalui perpaduan, orang Melayu tidak akan ke mana. Jurang pendidikan pula semakin melebar, jadi apa agenda kita?” soalnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sejarah membuktikan orang Melayu pernah bersatu dalam beberapa peristiwa penting, namun gagal mengekalkan kesatuan tersebut.

“Kita bersatu menentang Malayan Union, kemudian berpecah. Bersatu selepas peristiwa 13 Mei, kemudian berpecah lagi. Bersatu pada PRU14, selepas itu berpecah semula. Persoalannya, kenapa penyatuan ini tidak kekal?” ujarnya.

Aminuddin berharap program tersebut menjadi titik tolak kepada penyatuan yang lebih kukuh dan berpanjangan demi masa depan orang Melayu.

“Amanah ini perlu dipikul pemimpin politik kalangan orang Melayu. Jika mereka gagal bersatu, kesannya besar kepada rakyat sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri.

“Diharap semua pemimpin parti politik ambil serius isu perpaduan ini. Isu perpaduan dan penyatuan bukan isu baru, sudah lama dilaungkan. Ada yang mahu wujudkan Rumah Bangsa, ada mahu buat ‘payung besar’ dan sebagainya untuk menyatukan orang Melayu. 

“Selepas hampir 70 tahun merdeka, isu ini masih lagi jadi agenda kita. Kalau bersatu pun tak pernah kekal. Tak pasti apa punca sebenar menyebabkan orang Melayu sukar kekal dalam penyatuan,” katanya.

Post a Comment

0 Comments