KHTP PACU PELABURAN KEDAH, SUMBANG RM147 BILLION

 

Oleh: Nur Akasyah Sabri

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah berjaya merekodkan pelaburan sebanyak RM147 bilion menerusi Kulim Hi-Tech Park (KHTP), sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pelaburan di Kedah mencecah RM180 bilion dalam tempoh enam tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, pencapaian membanggakan ini direkodkan sepanjang tempoh pentadbiran bermula 2020 hingga 2026 di bawah kepimpinan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

“Secara keseluruhan, KHTP telah merekodkan jumlah pelaburan sebanyak RM190 bilion sejak tahun 1994 hingga 2026.

“Inilah realiti dan fakta yang tidak boleh dinafikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut menubuhkan The Greater Kedah Project Management Office bagi memastikan pelaksanaan setiap agenda pembangunan dipantau secara berterusan dan ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Kita melaksanakan sistem e-Tanah di semua kawasan perindustrian, termasuk di Kulim Industrial Corridor, Kulim Hi-Tech Park, Kuala Ketil, Sungai Petani, Gurun, Alor Setar, Padang Terap serta di Special Border Economic Zone (SBEZ) Bukit Kayu Hitam,” katanya.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri juga menubuhkan Kedah One Investment Team sebagai pendekatan whole-of-government bagi memudahkan proses pelaburan, menyelaras agensi kerajaan persekutuan dan negeri, serta memastikan kelancaran urusan pelabur.

Selain itu, program Kedah Young Professional turut dibangunkan sebagai usaha memperkukuh pembangunan modal insan dalam menarik pelaburan berkualiti ke Kedah.

Mengulas dakwaan bahawa semua pelaburan yang masuk ke Kedah adalah hasil usaha Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), beliau menjelaskan bahawa peranan agensi itu adalah mempromosikan pelaburan Malaysia secara keseluruhan kepada pelabur asing.

“MIDA akan menilai semua negeri bagi menentukan lokasi terbaik berdasarkan sokongan yang ditawarkan sebelum pelabur membuat keputusan.

“Saya tidak menafikan peranan MIDA, namun pelaburan ini bukan 100 peratus hasil usaha MIDA atau kerajaan negeri semata-mata, sebaliknya merupakan gabungan kedua-dua pihak dalam mempromosikan negeri dan negara,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa hubungan antara Kerajaan Negeri dan MIDA adalah amat baik, termasuk dengan agensi lain seperti imigresen, kastam, Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta pihak berkaitan.

Post a Comment

0 Comments