HAK SEMUA KAUM PERLU DIHORMATI DEMI PERPADUAN NASIONAL - AHMAD SAMSURI


Oleh: Roslinda Hashim 

KUALA NERUS - Hak kehidupan bernegara setiap rakyat tanpa mengira agama, kaum dan budaya perlu dihormati bagi memastikan perpaduan nasional serta kestabilan negara kekal utuh.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, prinsip itu amat penting dalam konteks masyarakat majmuk di negara ini yang terdiri daripada pelbagai etnik dan kepercayaan.

“Walau di mana jua kita berada, kita hidup dalam lingkungan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai agama, kaum, etnik, budaya dan bahasa.

“Maka sudah tentu tidak ada dalam kalangan kita, termasuk kepimpinan di atas pentas ini, yang ingin menafikan hak sesiapa jua sebagai rakyat dalam sebuah negara. Hak kehidupan bernegara ini adalah hak yang perlu dihormati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pidato Penyatuan Ummah sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah kali ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026, pada Sabtu.

Ahmad Samsuri yang merupakan Menteri Besar Terengganu berkata, Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama tidak pernah menafikan hak mana-mana individu sebagai warganegara.

Tambah beliau, setiap rakyat mengimpikan kehidupan yang sejahtera dan harmoni tanpa wujud sebarang ketidakadilan seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sebagai hak kehidupan bernegara, kita semua ingin hidup secara sejahtera, aman dan harmoni tanpa mengganggu hak-hak yang dijamin dalam Perlembagaan negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, sikap saling menghormati antara kaum dan agama perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.

Post a Comment

0 Comments