Oleh: Roslinda Hashim 


KUALA NERUS - Perang Ahzab baharu yang dilancarkan terhadap Islam oleh gabungan Yahudi Zionis dan musyrikin moden berteraskan ideologi kuasa besar dunia kini menjadi ancaman kepada negara Islam.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata, peperangan tersebut bukan lagi berasaskan perbezaan kaum, bangsa atau mazhab, sebaliknya menyasarkan Islam secara keseluruhan ketika umatnya berada dalam keadaan berpecah-belah.

“Setelah gagal melalui perang proksi dan adu domba, kini mereka bergabung melancarkan serangan baharu terhadap Islam, umat dan tanah airnya termasuk Nusantara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Perpaduan Umat: Peranan Ulama’, Strategi Alam Melayu dan Global’ ketika merasmikan Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah ke-5 dan Perhimpunan Alam Melayu 2026 di sini, hari ini.

Abdul Hadi yang juga mantan Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia berkata, antara serangan tersebut ialah konflik berterusan di Gaza serta Republik Islam Iran oleh Amerika Syarikat dan Zionis, yang didakwa berpunca daripada sokongan negara itu kepada kumpulan pejuang Palestin.

“Keganasan di Gaza mencapai tahap paling ngeri apabila melibatkan pembunuhan orang awam termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas, selain tindakan yang disifatkan melampau sehingga bertindak menyerang mayat di kubur,” katanya.

Beliau turut meluahkan kekecewaan terhadap sikap negara-negara jiran yang didakwa gagal menunjukkan semangat kemanusiaan, malah ada yang sanggup membenarkan kehadiran tentera asing di wilayah masing-masing.

“Keadaan ini mencerminkan penyakit al-wahn iaitu terlalu cintakan dunia dan takutkan mati,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi menegaskan, Palestin dan Iran merupakan antara wilayah penting dalam sejarah Islam yang perlu dipertahankan, selain menjadi simbol perjuangan umat.

“Palestin merupakan tanah suci tempat kelahiran para anbiya’ dan terletaknya kiblat pertama umat Islam, bumi Isra’ dan tempat bermulanya Mikraj. 

“Iran pula merupakan tanah air bagi dua orang sahabat Rasulullah SAW, iaitu Salman al-Farisi RA dan Bazan bin Sasan RA, serta menjadi tempat kelahiran ramai imam pelbagai mazhab dan ilmu Islam termasuk kelahiran Tamadun Islam,” ujarnya. 

Tambah beliau, hanya Palestin, Iran dan kumpulan Islam di sekitarnya yang terus menyahut seruan mempertahankan agama, sekali gus menjadi sasaran serangan gabungan kuasa besar dunia dipimpin Donald Trump.

Beliau turut membidas sikap negara Islam yang didakwa tidak membantah tindakan Israel dan Amerika Syarikat, sebaliknya mempersoalkan tindak balas pihak lain.

Mengimbas sejarah, Abdul Hadi berkata, Islam pernah muncul sebagai kuasa besar dunia yang menyatukan pelbagai bangsa melalui tamadun yang membawa keadilan sejagat.

“Malangnya, kita mengalami era kejatuhan selepas perpecahan umat kerana berlaku kelemahan ulama, kelalaian pemimpin dan kejahilan masyarakat,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, perpaduan umat Islam perlu diperkukuh dengan peranan ulama yang memahami agama secara mendalam (tafaqquh), selain penguasaan ekonomi sebagai asas kekuatan.

“Ulama yang tidak bertafaqquh menjadi antara punca perpecahan umat, sedangkan Islam mengajar perpaduan bukan sahaja sesama Islam, tetapi juga dalam masyarakat majmuk.

“Islam menyatukan seluruh manusia sehingga mengislamkan ilmu bermanfaat daripada semua tamadun timur dan barat, setelah keadilan Islam berjaya menjatuhkan kuasa besar dunia dan menunaikan amanah memerintah negara yang adil kepada seluruh manusia,” katanya.

Tambah beliau, Alam Melayu atau Nusantara menerima Islam sebagai satu sistem kehidupan (al-din) yang merangkumi ibadah, pemerintahan dan amanah menegakkan keadilan.

“Sejarah membuktikan Raja-Raja Melayu yang memeluk Islam terus memerintah berlandaskan prinsip Islam seperti digariskan dalam al-Quran dan sunnah, manakala dakwah disebarkan secara hikmah dan adil tanpa paksaan,” katanya.