DOAKAN KEDAH, MALAYSIA DILIMPAHI KEMAKMURAN, PERPADUAN - TITAH SULTAN KEDAH KEPADA JEMAAH HAJI

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah agar bakal jemaah haji negeri ini mendoakan Kedah dan Malaysia terus dilimpahi keamanan, kemakmuran serta perpaduan berkekalan.

Baginda berkenan mengingatkan agar jemaah haji memperbanyakkan doa termasuk untuk keluarga dan negeri ini khususnya ketika berada di Tanah Suci.

“Di samping menunaikan segala rukun dan wajib haji dengan sempurna, Beta berharap para jemaah tidak lupa memperbanyakkan doa ketika di Tanah Suci.

“Beta juga menasihatkan jemaah, agar sentiasa menjaga kesihatan, mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa serta memberikan kerjasama penuh kepada petugas haji, yang diamanahkan untuk menyantuni dan menjaga kebajikan, sepanjang ibadah ini,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin berkenan bertitah ketika mencemar duli berangkat ke majlis mengucapkan selamat jalan kepada bakal jemaah haji negeri Kedah, hari ini.

Seramai 140 jemaah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Halim menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum dijadualkan berlepas ke Tanah Suci pada 12.05 pagi Khamis menaiki pesawat AMAL by Malaysia Airlines.

Menurut baginda, ibadah haji bukan sekadar perjalanan fizikal merentasi sempadan negara, sebaliknya satu perjalanan rohani yang menuntut keikhlasan, kesabaran, pengorbanan serta keinsafan tinggi.

“Manfaatkan peluang berharga ini dengan memperbanyakkan ibadah, menjaga adab dan disiplin serta memelihara nama baik negara sepanjang berada di Tanah Suci,” titah baginda.

Sultan Kedah turut merakamkan penghargaan kepada Tabung Haji atas komitmen berterusan dalam memastikan pengurusan haji negara sentiasa berada pada tahap cemerlang serta dihormati di peringkat antarabangsa.

“Peranan dimainkan Tabung Haji sejak sekian lama, bukan sahaja membantu umat Islam di Malaysia merancang dan menunaikan ibadah haji dengan lebih teratur, malah menjadi contoh pengurusan haji di peringkat antarabangsa. 

“Beta doakan perjalanan jemaah haji selamat, dipermudahkan segala urusan, serta dianugerahkan haji mabrur, serta kembali dalam keadaan sihat, dan membawa pulang keberkatan kepada keluarga dan masyarakat,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah, kesungguhan dan kesabaran bakal jemaah haji yang menabung sejak awal di Tabung Haji wajar dijadikan contoh terbaik dalam mencapai impian menunaikan ibadah tersebut.

Menurut baginda, amalan menabung secara konsisten bukan sahaja mencerminkan perancangan kewangan yang bijaksana, malah membuktikan dengan kesabaran, perancangan dan usaha berterusan, seseorang mampu menunaikan haji.

“Beta harap semangat ini dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda umat Islam agar mula merancang perjalanan haji sejak awal, jadikan budaya menabung di Tabung Haji sebagai amalan,” titah baginda.

Sementara itu, Ketua Syariah Kumpulan Tabung Haji, Imran Mohammad Khayat memaklumkan, penerbangan jemaah Kedah ini merupakan penerbangan ke-16 daripada keseluruhan 100 penerbangan sewa khas haji, untuk membawa 31,600 bakal haji negara. 

“Jemaah dari Kedah akan bergabung dengan 140 jemaah dari Kelantan menjadikan jumlah keseluruhan seramai 279 orang, sebelum berlepas dari KLIA menaiki pesawat MH8066 dan dijangka tiba di Madinah pada 3.50 pagi keesokan harinya waktu Arab Saudi,” katanya.

Tambah beliau, bagi musim haji 1447H/2026M, Kedah mencatatkan keseluruhan 2,562 jemaah terdiri daripada 1,082 lelaki dan 1,480 wanita.

“Penerbangan ke Tanah Suci bermula dari 18 April hingga 20 Mei, manakala penerbangan pulang dijadualkan antara 4 hingga 30 Jun depan,” katanya.

Post a Comment

0 Comments