ANAK CEMERLANG SPM, SANUSI KONGSI ‘UJIAN’ DI SEBALIK KEJAYAAN


Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Di sebalik senyuman seorang anak menggenggam keputusan cemerlang, tersimpan kisah penuh air mata, debaran dan pengorbanan yang tidak terungkap.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak mampu menyembunyikan rasa sebak saat melihat anak keempatnya, Nur Hana, tersenyum manja menerima keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Kejayaan memperoleh 10A dan 1B+ itu bukan sekadar angka, tetapi lambang ketabahan seorang anak yang pernah diuji sejak kecil.

“Alhamdulillah, tahniah anakanda, teruskan perjuanganmu dalam bidang akademik, kerjaya dan kesihatan. Kejayaan ini adalah berkat ketabahan dan kesabarannya terus belajar. Terima kasih kepada guru-guru dan pihak sekolah,” katanya.

Pada Selasa, Sanusi meluangkan masa menemani Nur Hana untuk mengambil keputusan SPM di Maktab Mahmud Padang Terap.

Beliau dilihat sempat berseloroh bersama Nur Hana dan gurunya mengenai pencapaian cemerlang subjek Bahasa Inggeris yang memperoleh A+.

“Bahasa Inggeris ikut pak dia lah A+,” katanya, disambut gelak ketawa.

Di sebalik detik kejayaan itu, hati seorang bapa tersentuh melihat kegembiraan anaknya yang tabah berjuang hingga ke tahap ini, meyebabkan Sanusi mengimbau kembali perjalanan getir dilalui Nur Hana sejak bayi. 

Siapa sangka, anak yang suatu ketika dahulu agak ketinggalan di sekolah rendah kerana masalah kesihatan, kini berdiri megah sebagai pelajar cemerlang.

“Hana anak yang berani, seawal usia empat bulan, Hana disahkan menghidap penyakit jantung berlubang - Atrial Septal Defect (ASD) dan Ventricular Septal Defect (VSD).

“Zaman kanak-kanaknya tidak seperti rakan seusia, aktiviti agak terbatas, dia jadi pasif dan terpaksa fokus pada aktiviti ringan,” katanya.

Menurut Sanusi, pada usia lapan tahun, prosedur pemasangan implan yang dicadangkan doktor gagal. 

Sebagai seorang ayah, Sanusi mengakui hatinya luluh saat itu, namun memilih untuk berserah kepada ketentuan Ilahi.

“Ketika berusia lapan tahun, ASD sembuh, hanya ada VSD. Hana tabah tetapi saya agak kecewa dan hanya berserah kepada ALLAH SWT untuk sembuhkan dia. 

“Selama bertahun, Hana menjalani pemeriksaan jantung secara berkala setiap empat bulan, sehinggalah satu keputusan besar terpaksa dibuat,” katanya.

Pada April 2021, ketika berusia 12 tahun, Nur Hana menunjukkan keberanian luar biasa dan bersetuju menjalani pembedahan jantung terbuka di Hospital Pulau Pinang.

Pembedahan yang penuh risiko itu akhirnya berjaya, hasil kepakaran pasukan perubatan kardiologi yang diketuai Dato’ Dr Abu Yamin Khamis.

Dari detik itu, kehidupan Nur Hana berubah.
Tambah Sanusi, Nur Hana kembali bangkit, menyambung persekolahan di asrama selepas diterima masuk ke Maktab Mahmud Padang Terap, dari Tingkatan Satu hingga Lima.

Dalam kesibukan tugas sebagai Menteri Besar, Sanusi mengakui tidak mampu sentiasa berada di sisi anaknya. Namun, sokongan tidak pernah putus sama ada melalui nasihat mahupun doa yang tidak pernah lekang.

“Saya sempat melawat dia sekali saja di sekolah itu ketika dia menerima hadiah peperiksaan akhir Tingkatan Lima, Ogos lepas. 

“Semua urusan berkaitan sekolah anak-anak, isteri uruskan. Saya titipkan kata-kata semangat dan nasihat ketika dia balik cuti di rumah.

“Dia cepat memahami keadaan, faham tugas ayahnya… dan bercita-cita mahu jadi seperti ayah…
malah berani mempertahankan ayahnya,” katanya, tersenyum bangga.

Menurut Sanusi lagi, Hana yang gemarkan warna kuning dan pernah menjadi ‘anak bongsu’ selama tujuh tahun sebelum kelahiran adiknya (Sofea Humaira) menyimpan cita-cita besar mahu menjadi peguam atau pensyarah. 

“Sifatnya yang tegas, berani dan berterus terang menjadikannya seorang anak luar biasa sejak kecil.

“Dia manja lebih dengan saya dan suka melawa. Datuknya sendiri cakap, Hana ada keberanian dan kebolehan macam saya,” katanya. 

Di sebalik kejayaan ini, kisah Nur Hana bukan sekadar tentang keputusan peperiksaan.

Ia adalah kisah tentang ujian berat yang mendewasakan, tentang seorang anak yang tidak pernah menyerah, dan tentang sebuah keluarga yang terus berdiri teguh walau diuji.

Akhirnya, kejayaan ini menjadi bukti  bahawa kesabaran, doa dan ketabahan pasti menemukan jalannya.

Post a Comment

0 Comments