Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Kedah menunjukkan pencapaian memberangsangkan apabila seramai 24 calon berjaya memperoleh semua gred A+ dalam semua mata pelajaran, meningkat berbanding 14 calon pada tahun sebelumnya.
Pengarah Pendidikan Kedah, Abd Rahim Mat berkata, peningkatan turut dicatatkan bagi calon yang memperoleh kombinasi gred A+, A dan A- iaitu seramai 715 orang (2.81 peratus) berbanding 649 orang (2.62 peratus) pada 2024, sekali gus menunjukkan pertambahan 66 calon.
Menurutnya, tiga calon terbaik negeri berjaya meraih 11 A+, iaitu Muhammad Adeeb Qawiem Mohd Nizam dari Maktab Mahmud Langkawi, Ahmad Zaeem Md Zaki (SBPI Kubang Pasu) dan Liew Bo Xin (SMK Sin Min).
“Bilangan calon yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian (gred C) dalam semua mata pelajaran meningkat kepada 3,610 orang (14.18 peratus) berbanding 3,368 orang (13.61 peratus) pada tahun lalu.
“Seramai 9,593 calon (37.69 peratus) berjaya memperoleh sekurang-kurangnya lulus (gred E) dalam semua mata pelajaran berbanding 9,384 orang (37.92%) pada SPM 2024,” katanya pada sidang akhbar pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di sini, hari ini.
Abd Rahim berkata, kejayaan turut diraih calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) apabila dua pelajar yang mengalami masalah pembelajaran mencatat keputusan cemerlang 10A, iaitu Yousef Mohd Hazril Munir dari SMK Khir Johari, Sungai Petani dan Nur Zahra ‘Arifah Abd Rahman dari SMA Islahiah, Mahang.
Turut cemerlang, Huda Rasheeda Rosli dari SMA Darusaadah yang merupakan calon kurang upaya fizikal.
“Seramai 133 calon CBPK menduduki SPM 2025 dan daripada jumlah itu, 110 orang atau 97.35 peratus layak menerima sijil berbanding 77 calon pada tahun lalu, menunjukkan peningkatan 35.25 peratus atau 33 orang.
“Kejayaan ini hasil pelbagai inisiatif termasuk bengkel sinergi SPM, program Langkah Gemilang MBPK dan bengkel pecutan akhir khusus bagi subjek Bahasa Melayu dan Sejarah,” katanya.
Tambah beliau, kejayaan turut dicapai pelajar dalam bidang sukan apabila atlet ragbi MSSM, Irfan Redzuan dari Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim memperoleh 7A 2B.
“Atlet bola jaring kebangsaan, Nur A’lisha A’frina Rosdi dari SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman pula mencatat 6A 2B, manakala atlet renang Kedah, Lavnesh Kamaleshwaren dari SMK Taman Hi-Tech meraih 8A 2B,” katanya.
Abd Rahim berkata, secara keseluruhan, seramai 24,090 calon (94.65 peratus) sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) layak menerima sijil SPM 2025, meningkat berbanding 23,256 calon (93.98 peratus) pada tahun sebelumnya.
“Angka ini menunjukkan peningkatan seramai 834 orang (0.67%). Kehadiran calon juga tinggi, iaitu 25,453 orang (98.85 peratus), manakala bilangan calon tidak hadir menurun kepada 297 orang berbanding 385 orang pada 2024,” ujarnya.
Tambah beliau, jumlah keseluruhan calon yang mendaftar meningkat kepada 29,993 orang berbanding 28,933 orang pada peperiksaan SPM tahun 2024
“Dari segi pencapaian keseluruhan, Gred Purata Negeri (GPN) Kedah menunjukkan peningkatan kepada 4.52 mata berbanding 4.64 mata pada SPM 2024.
“Menariknya, tiada jurang pencapaian antara calon bandar dan luar bandar, apabila kedua-duanya mencatat GPN sama, iaitu 4.52 mata.
“GPN calon di bandar pada SPM 2024 ialah 4.63 mata, sementara GPN calon di luar bandar pula 4.78 mata untuk SPM 2024,” katanya.

0 Comments