Oleh: Ku Azizah Ku Hamid
KUBANG PASU - Usaha memperkasakan pembangunan bakat sukan di Kedah terus diperkukuh apabila lebih 250 pemain tenis remaja terbaik dari seluruh negara berhimpun dalam Kejohanan Tenis Remaja Kebangsaan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Muhammad Radhi Mat Din berkata, pembangunan sukan tidak boleh dilihat secara terpisah, sebaliknya perlu dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi aspek latihan, pertandingan, kejurulatihan, pengurusan serta sokongan sains sukan.
Menurutnya, platform pertandingan amat penting dalam mencungkil bakat baharu selain memberi pendedahan kepada suasana sebenar kejohanan, sekali gus membina kekuatan mental dan jati diri atlet muda.
“Penganjuran kejohanan di Kedah ini merupakan satu permulaan penting selepas kali terakhir dianjurkan kira-kira dua dekad lalu, sekali gus membuka ruang kepada lebih banyak kejohanan dianjurkan pada masa hadapan.
“Kita berharap program ini mampu melahirkan bakat-bakat muda baharu yang berpotensi menjadi kuasa baharu dalam arena tenis negara,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Kejohanan Tenis Remaja Kebangsaan di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini, hari ini.
Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus menyokong pembangunan sukan melalui penyediaan kemudahan berkualiti, pelaksanaan program pembangunan bakat serta kerjasama strategik dengan pelbagai pihak termasuk institusi pendidikan dan persatuan sukan.
Dalam pada itu, katanya, peranan ibu bapa, jurulatih dan pengurusan pasukan amat penting dalam memastikan kejayaan atlet, khususnya dalam memberikan sokongan moral dan bimbingan berterusan.
“Semua pihak perlu berganding bahu mewujudkan ekosistem sukan yang sihat, kompetitif dan mampan agar bakat muda dapat digilap seterusnya mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa,” ujarnya.
0 Comments