Kembali melihat, Ramadan kali ini penuh kesyukuran

 

Laporan: Ahmad Rado 

KUPANG -Ramadan tahun ini hadir dengan sinar yang cukup bermakna buat seorang lelaki apabila mata kirinya yang hampir hilang penglihatan kembali melihat dunia.

Tragedi lima tahun lalu masih segar dalam ingatan. Ketika sedang memesin rumput, bilah mesin terkena batu lalu batu itu terpelanting dan tepat mengenai mata kirinya sehingga berdarah dan mengalami kecederaan serius.

Mohd Rafee Mohd Darus, 64, dari Kampung Air Kembal berkata, walaupun kecederaan tersebut telah dirawat sebelum ini, namun pada hujung tahun lalu penglihatannya semakin pudar akibat kesan insiden berkenaan.

“Waktu itu saya sedang memesin rumput, tiba-tiba bilah mesin terkena batu yang terus terpelanting dan mengenai mata saya sampai berdarah.

“Sebelum ini kecederaan pada mata telah dirawat, tetapi pada hujung tahun lepas mata kiri saya semakin pudar. Penglihatan saya nampak kelabu saja, semakin lama semakin tak nampak,” katanya.

Beliau ditemui Media Penerangan PAS Kupang dalam lawatan Ziarah Kasih Ramadan ADUN Kupang, Brigedier Jeneral (B) YB Dato’ Haji Najmi Ahmad bersama Jentera Pilihan Raya DUN Kupang pada Khamis lalu.

Mohd Rafee yang telah kematian isteri sejak tahun 2001 dan kini tinggal bersama anak lelakinya berusia 27 tahun melahirkan rasa syukur apabila Ramadan tahun ini penglihatannya semakin pulih selepas menjalani pembedahan pada Mei tahun lalu.

Pemulihan itu membolehkannya menunaikan ibadah Ramadan serta amalan lain dengan lebih selesa dan sempurna.

“Sampai hari ini saya masih perlu mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Kulim. Tetapi alhamdulillah, bila dapat melihat kembali, saya sedar inilah antara nikmat Allah yang tidak mampu dijual beli,” katanya penuh syukur.

Dalam kesempatan sama, beliau turut merakamkan penghargaan atas keprihatinan Dato’ Najmi yang sudi menziarahinya serta menyampaikan bantuan bakul makanan.

“Tak sangka terima kehadiran pemimpin kawasan petang ini. Terima kasih kepada semua yang datang,” katanya.

Sumber: Media Penerangan PAS  Kupang

Post a Comment

0 Comments