MATAWANG 'BELANJA KEDAH DARUL AMAN' PETANDA ISLAM SAMPAI 300 TAHUN LEBIH AWAL DI KEDAH

 


Oleh: Harizal Hassan
Mantan Eksekutif Kanan, Pusat Kajian Media, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) 

Seawal Dinasti Han direkodkan bunga cengkih, barang dagangan berharga politi Laut Selatan yang digunakan secara meluas oleh Maharaja China untuk mengelak nafas berbau busuk. Dikatakan Maharaja tersebut juga menggalakkan bangsawan pemerintahan baginda untuk menggunakan rempah ratus Nusantara itu sebagai petua mengekalkan kesegaran nafas, khasnya ketika mahu berbicara dengan baginda. 

Tentunya barangan mewah seperti itu tidak terjangkau untuk digunakan seluruh rakyat jelata. Mungkin hartawan dan golongan peniaga mampu mengunyah cengkih sebagai petua menyegarkan nafas.

3,500 tahun lampau pula, di sebelah barat Nusantara yang kini dikenali sebagai sub-benua India, nenek moyang kumpulan sama telah memperkenalkan tanaman sirih dan pinang seperti lain-lain tanaman endemik se-Asia Tenggara (pokok kelapa, pokok kayu cendana, pokok pisang, pokok tebu) yang dibawa ke dunia sebelah Barat, nun sejauh benua Afrika. 

Budaya 'makan sirih' dikatakan menjadi amalan para bangsawan di sub-benua India bagi mengelakkan nafas berbau. Malah maharaja Asoka the Great sendiri direkodkan mengamalkan budaya tersebut. Tidak pasti sama ada ia dipelajari daripada ibunya yang dikatakan berketurunan bangsawan Champa. 

Di bahagian utara benua India pula, sekitar 500 tahun Sebelum Masihi, budaya sirih pinang menjadi sebahagian daripada amalan perubatan Ayurveda. Jauh sebelum pengenalan ubat kumur atau amalan gosok gigi dengan ubat gigi, budaya 'makan sirih' menjadi sebahagian daripada penjagaan dan amalan kebersihan mulut. 

Ianya direkodkan kitab-kitab Indik lama seperti Carakasamhita dan Susrutasamhita. Amalan ini dikatakan baik dalam mengawal air liur, baik untuk jantung dan mampu  menyembuhkan sakit tekak. Ia juga dikatakan amat baik diambil sejurus selepas bangun tidur, makan, mandi dan selepas muntah. 

Rutin penjagaan oral ini seterusnya merebak ke Asia Tengah dan Parsi. Menurut P.C. Gupta & S. Warnakulasuriya di permulaan abad ke-20, seramai 600 juta jiwa di seluruh dunia mengamalkan amalan makan sirih. 

Ini membuktikan nenek moyang orang-orang Asia Tenggara sememangnya telah berkelana ke belahan dunia sebelah Barat jauh lebih awal daripada yang sering diperakui. Ini sememangnya selari dengan dapatan penghijrahan nenek moyang orang Melayu oleh sejumlah akademia antarabangsa seperti Oppenheimer, Hornell, Mahdi, Sidwell, Kim dan ramai lagi. 

Malah ianya seolah memangku 'conjecture' yang pernah dibuat oleh Prof. Dr. Solehah Yaacob, bahawasanya ilmu perkapalan dunia Barat dipengaruhi satu-satunya jaguh politi maritim laut lepas purba dunia. 

Mungkinkah bukti fizikal atau arkeologikal yang 'ditunggu-tunggu' masih tersimpan rapi jauh di dasar tasik di Sungai Batu, Kedah? 

Mungkin juga beberapa bangkai kapal purba yang dianggarkan berukuran 40-50 kaki panjang itu bakal menjadi bukti nyata yang mampu menukar naratif sejarah bangsa kita dan dunia? 

Elok juga bagi sesetengah pihak yang sangsi dengan kehebatan politi warga sebelah sini sebagai jaguh maritim dunia purba boleh menjadi lebih konstruktif dengan menyumbang dana atau idea untuk merelisasikan ekskavasi kapal purba di Sungai Batu, Kedah seperti yang rancak dilakukan di Melaka.

Bercakap tentang Melaka, Prof. Dr. Solehah  Yaacob dan artifak purba, penulis bertuah kerana baru-baru ini berkesempatan mengikuti langsung perkongsian pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu bersama seorang kolektor artifak matawang bersejarah Empayar Kesultanan Melayu Melaka dan Nusantara. 

Antara matawang purba yang dipamerkan menurut ahli nunismatik itu sendiri adalah matawang Alam Melayu sebelum zaman Empayar Melayu Sriwijaya, matawang 'Satu Massa' era Sriwijaya, matawang 'Belanja Kedah Darul Aman' sekitar 118 Hijrah dan matawang Sultan Muzaffar Syah tahun 1446, sekadar menyebut beberapa koleksi.

Sesungguhnya perkongsian tersebut membuktikan Alam Melayu mempunyai budaya sistem pitih atau kupang yang rencam dengan pelbagai jenis  dan rekabentuk. Ada matawang berbentuk kenderaan laut seperti sampan dan perahu. Ada diperbuat daripada emas, perak dan juga timah.

Menurut Prof. Dr. Solehah Yaacob, sistem matawang sesuatu daulah adalah bukti kukuh bahawa cara hidup dan sistem berkerajaan khas itu sudah wujud, merujuk kepada duit 'Belanja Kedah Darul Aman' bertarikh 300 tahun lebih awal daripada faham umum kedatangan Islam di Kedah. 

Tambah beliau lagi, matawang merupakan artifak yang kuat kerana ianya bukti sudah ada penguasa sesuatu politi, satu kerajaan berdaulat dan bukannya boleh dibuat oleh para pedagang dengan sewenang-wenangnya. 

Beliau memperhalusi tulisan kufi pada matawang timah 'Belanja Kedah Darul Aman' bertarikh 118 Hijrah bersamaan dengan 736 Masihi sezaman Empayar Bani Umayyah. 

Duit di ukir dengan tulisan arab kuno tanpa titik dan tidak bersambung; 'Belanja Nagari Kedah', 'Sanah 118' dan 'Darul Aman'.

Tambah beliau lagi, ia jauh berbeza dengan tulisan Batu Bersurat Terengganu yang jauh lebih 'sophisticated' yang juga menggambarkan perkembangan intelektual politi tempatan ketika itu lebih kurang 600 tahun setelah politi Islam di Kedah direkodkan matawang 'Belanja Kedah Darul Aman'.

Sesungguhnya perkongsian itu amatlah mengujakan bagi yang mencintai sejarah ketamadunan tempatan. Tentunya apa saja penemuan baharu bakal dikaji dan diperhalusi dengan lebih mendalam. 

Penulis difahamkan banyak lagi bakal dikongsikan pada majlis 'Sejarah & Tamadun Melayu 3.0' pada 1-3 Mei tahun ini. 

Kepada sang pesimis atau kumpulan 'mulut busuk' yang suka mencemuh atau mempersoalkan segala sesuatu perkongsian oleh Prof. Dr. Solehah Yaacob, anda kini berpeluang berbuat demikian secara langsung. Sila tampil dan lontarkan apa yang sekian lama terbuku di sanubari anda.

Post a Comment

0 Comments