SANUSI JELASKAN TIDAK PANGGIL SIDANG MEDIA, ELAK KENYATAAN DIPUTAR BELIT

 


Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan agak lama tidak  mengadakan sidang media kebelakangan ini kerana tidak mahu kenyataannya diputar belit pihak tertentu sehingga menimbulkan kekeliruan kalangan masyarakat.

Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan beliau terpaksa mengambil masa untuk memperbetulkan semula kenyataan yang disalah tafsir, sekali gus membuang masa yang sepatutnya digunakan untuk menjalankan tugas lain.

“Sebab bila saya cakap di sini, orang suka pusing (putar belit). Baik saya tak cakap dan saya buat kerja saja.
Bila orang pusing, kita kena buat lagi sekali untuk betulkan perkara yang dipusing itu. Jadi buang masa saya, saya tak mahu buang masa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri 2026 di Wisma Darul Aman, di sini.

Sanusi berkata, sidang media ini diadakan sempena Ramadan dan menjelang Aidilfitri selepas sekian lama beliau tidak memanggil wakil media untuk sesi tersebut.

“Saya panggil dan cakap sekali-sekala cukup, sebab dah lama tak panggil (sidang media). Kalau cakap kerap-kerap pun orang pusing juga kerana dunia ini ramai orang yang suka pusing. Orang yang nak betul, jalan ‘straight’ ini tak ramai,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut membidas sikap segelintir pihak yang gemar memutar belit kenyataannya di media sosial dengan memetik hanya sebahagian kenyataan dan diputar belit bagi menimbulkan kekeliruan.

“Ada yang ambil separuh, kemudian pusing untuk mengelirukan orang ramai. Akhirnya orang ramai jadi keliru.
“Dia pun dapatlah dosa percuma,” katanya.

Sehubungan itu, Sanusi mengajak semua pihak mengambil semangat Ramadan untuk bercakap benar dan menjalankan tugas dengan ikhlas tanpa menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat.

“Marilah kita buat kerja dengan betul dan ikhlas, tak ada pusing-pusing. Maksud saya bukan orang depan saya ni (wartawan) tetapi mereka yang dengar berita di media sosial dan suka pusing cerita.

“Saya tak mahu orang dapat dosa percuma. Baik saya tak cakap, buat kerja saja. Saya rasa jalan itu lebih selamat untuk saya daripada mereka yang mulut macam ‘Ampang Jajar’.
 
“Sesiapa yang cakap banyak, cakap tak betul macam dia pandai, itulah mulut luas. Cakap semua benda macam dia tahu. Kemudian buat kesalahan dan hasut orang lain buat kesalahan,” katanya.


Post a Comment

0 Comments