KERAJAAN NEGERI PERUNTUKKAN RM7.925 JUTA SEMPENA RAMADAN, AIDILFITRI

 


Oleh: Nur Akasyah Sabri

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan sebanyak RM7.925 juta bagi meringankan beban rakyat sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, peruntukan yang mencecah hampir RM8 juta itu merupakan jumlah yang besar dalam konteks kemampuan Kerajaan Negeri.

“Kita akan jaga sebaik-baiknya negeri ini. Semua hasil dan kekayaan negeri ini adalah untuk rakyat Kedah,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri 2026 di Wisma Darul Aman.

Menurut Sanusi, beberapa peruntukan telah disalurkan kepada rakyat menerusi pelbagai sumbangan sempena Ramadan dan Aidilfitri.

Antara sumbangan yang disalurkan ialah bantuan khas Aidilfitri kepada 5,600 penjawat awam Kedah sebanyak RM1,000 seorang membabitkan keseluruhan RM5.6 juta. 

“Kerajaan negeri turut menyalurkan sumbangan kepada pengerusi dan setiausaha Majlis Ketua Kampung (MKK) atau dikenali sebagai 'duit beras pulut' berjumlah RM496,000 kepada 2,480 penerima,” katanya.

Selain itu, imam-imam lantikan Kerajaan Negeri menerima RM102,500 bagi 205 penerima, manakala 40 orang guru KAFA lantikan masjid serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) turut menerima sumbangan RM500 seorang membabitkan peruntukan RM20,000.

Sementara, kakitangan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) juga menerima sumbangan sebanyak RM210,000 merangkumi 420 penerima.

“Saya harap pada tahun depan program ini akan ditambah lagi peruntukannya dan dilipatgandakan supaya dapat dinikmati oleh lebih ramai rakyat,” katanya.

Beliau berkata, sumbangan pada tahun ini turut melibatkan guru-guru al-Quran, jurumandi jenazah, penggali kubur, bomoh patah, bidan kampung serta golongan mualaf dengan jumlah keseluruhan RM2.145 juta.

“Sebanyak RM180,000 diperuntukkan bagi penganjuran Majlis Berbuka Puasa di daerah, institusi dan kumpulan sasaran lain.

"Secara keseluruhan, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM7.925 juta bagi pelbagai bantuan kebajikan sempena Ramadan tahun ini," katanya.

Tambah beliau, sumbangan seperti itu juga turut disalurkan pada sambutan perayaan seperti Deepavali dan Tahun Baharu Cina.

Post a Comment

0 Comments