SANUSI JANGKA PRU16 AWAL TAHUN DEPAN, SANGKAL PRU MENGEJUT JULAI INI

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) tidak akan diadakan dalam masa terdekat, sebaliknya berkemungkinan besar berlangsung pada awal tahun depan.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dan PAS Pusat berkata, dakwaan kononnya PRU mengejut akan diadakan pada Julai tahun ini juga adalah tidak berasas.

“Ada yang kata PRU akan diadakan tahun ini. Saya harap tahun depanlah, tahun ini macam cepat sangat. Ramai orang jangka PRU mengejut bulan Julai, tapi saya rasa tak mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Dana Pilihan Raya PAS Kawasan Kuala Kedah di Dewan Al-Amin, Teluk Bagan, di sini.

Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu, beberapa negeri masih mempunyai tempoh sah penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) yang panjang sebelum perlu dibubarkan.

“Tempoh sah Melaka sampai bulan Disember dan boleh berlanjutan hingga Februari, iaitu 60 hari selepas tempoh maksimum. Selepas itu Sarawak, kemudian Johor.

“Kalau nak buat serentak, paling awal pun Februari. Kalau lebih awal mungkin Disember, tapi bukan Julai ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Sanusi mengingatkan jentera parti supaya membuat persiapan rapi dan tidak leka untuk menghadapi PRU akan datang.

“Saya harap kita semua pakat-pakat bersedia. Jangan leka kerana PRU kali ini polanya sudah tak sama. Kita akan berada di blok PN dan sekarang PN diketuai oleh PAS. Blok ini blok besar dan semua orang perhatikan kita,” ujarnya.

Beliau mendakwa sebahagian besar rakyat kini meletakkan harapan kepada PAS sebagai sandaran kuasa politik Islam dan Melayu di negara ini.

“Kalau blok Melayu, harapan ramai terletak kepada PAS. UMNO tak boleh pakai dah, PKR hanyut, AMANAH (Parti Amanah Negara) pula jadi barua DAP. 

“Blok politik Melayu yang masih berbisa dan ada kekuatan hanya tinggal PAS. Kitalah yang diletakkan harapan untuk orang Islam Melayu kekal berkuasa dan memegang kuasa politik di negara ini,” ujarnya.

Pada PRU15, berlaku tsunami PN di Kedah selepas tsunami Pakatan Harapan (PH) melanda Jelapang Padi pada PRU14.

PRU15 yang diadakan pada 19 November 2022 turut menyaksikan nama-nama besar dalam PH, Barisan Nasional (BN), dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) gagal mempertahankan kemenangan di Parlimen masing-masing apabila PN menang bergaya membolot 13 daripada 14 kerusi Parlimen di Kedah.

Parlimen Padang Serai tidak diadakan serentak berikutan kematian penyandangnya, yang juga calon PH bagi kerusi itu, M Karupaiya yang mana pengundian ditetapkan pada 7 Disember.

PN membolot 13 kerusi dan hanya satu milik PH di Parlimen Sungai Petani, berbanding PRU14 yang mana PH memenangi tujuh kerusi (enam daripada PKR dan satu AMANAH), tiga kerusi masing-masing milik PAS dan Pejuang manakala BN hanya dua kerusi.

Sementara dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan pada 12 Ogos 2023, PN mengekalkan penguasaannya di Kedah apabila memenangi 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

PH hanya memenangi DUN Kota Darul Aman (DAP), Bakar Arang (PKR) dan Sidam (PKR), sementara BN dan AMANAH gagal memperoleh sebarang kerusi.

Jumlah kemenangan PN itu lebih besar berbanding kedudukan kerusi sebelum ini, iaitu PAS sebanyak  15 kerusi dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebanyak enam kerusi.

Post a Comment

0 Comments