Ku Azizah Ku Hamid
LANGKAWI – Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) sekali lagi mencatat kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai Lapangan Terbang Terbaik di Asia Pasifik bagi kategori dua hingga lima juta penumpang dalam Airport Service Quality Awards (ASQ) 2025 anjuran Airports Council International (ACI).
Pengiktirafan berprestij itu merupakan kemenangan lima tahun berturut-turut yang mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan kecemerlangan perkhidmatan, kecekapan operasi, kebersihan, keselesaan serta pengalaman pelanggan berada pada tahap terbaik.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata, anugerah ASQ bukan sekadar pengiktirafan biasa, malah menjadi penanda aras global yang dinilai sepenuhnya berdasarkan maklum balas penumpang secara masa nyata.
Menurutnya, kejayaan tersebut membuktikan tahap kepuasan sebenar pelancong yang melalui pintu masuk utama ke Pulau Langkawi sentiasa berada pada tahap membanggakan.
“Lapangan terbang adalah pintu masuk pertama yang memberi gambaran awal kepada pelawat.
"Apabila pengalaman di pintu masuk berada pada tahap terbaik, ia meningkatkan keyakinan pelancong untuk kembali semula serta mempromosikan Langkawi ke peringkat antarabangsa," ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya.
Jelasnya lagi, kejayaan itu juga memberi impak besar kepada sektor pelancongan negeri dan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat, sekali gus menyokong usaha memperkukuh industri pelancongan Kedah.
Mohd Salleh berharap kecemerlangan itu dapat dikekalkan dan terus dipertingkatkan pada masa akan datang.
"Tahniah kepada seluruh pasukan LTAL khususnya serta Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) atas pencapaian membanggakan tersebut," kata beliau.

0 Comments