Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Hasrat Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menawan Kedah hanyalah angan-angan, selain menyifatkan parti tersebut tidak mempunyai kekuatan sebenar di negeri ini.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dan PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mencabar parti itu supaya bertanding habis-habisan di negeri ini, selain menegaskan Kedah bukan ‘kubu kuat’ PKR, sebaliknya bakal menjadi ‘kubur politik’ mereka.
“PKR berhasrat jadikan Kedah kubu kuat mereka. Kita nak maklum, silalah datang, tapi kami akan jadikan kubur untuk mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Dana Pilihan Raya PAS Kawasan Kuala Kedah di Dewan Al-Amin, Teluk Bagan, di sini.
Terdahulu, pada 13 Februari, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Kedah 2026 dilaporkan mahu menjadikan Kedah sebagai kubu kuat parti itu selepas kejayaan menawan beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya lalu, khususnya di selatan negeri ini.
Perdana Menteri itu turut menyatakan keyakinan bahawa Kedah mampu ditawan semula berdasarkan keupayaan semasa parti yang disifatkan berada pada tahap terbaik.
Dalam pada itu, Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah mengingatkan ahli PAS agar bekerja lebih keras bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak terus mentadbir negara.
“Ahli PAS perlu bekerja lebih kuat, jangan biarkan PH kekal mentadbir negara, setiap hari ada sahaja isu-isu besar yang tak pernah jangka berlaku,” katanya.
Menurutnya, pelbagai isu mutakhir termasuk tindakan mempersendakan agama mencerminkan kelemahan kuasa politik umat Islam.
Beliau mendakwa, tindakan segelintir pihak menghina agama, termasuk memijak al-Quran dan menghasilkan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW, disebabkan pihak yang diberi amanah menjaga agama dan kuasa politik dilihat terlalu ‘berlembut’.
“Orang bukan Islam berani rakam video pijak al-Quran, tak pernah berlaku dalam sejarah negara kita. Bila kuasa politik orang Islam lemah, orang sudah tidak gerun.
“Banyak lagi peristiwa yang melambangkan lemahnya kekuatan izzah Islam yang semakin menurun. Lemahnya kuasa politik orang Islam sehingga keputusan besar terpaksa bergantung kepada undi bukan Islam sehingga perlu dirujuk kepada mereka terlebih dahulu,” dakwanya.
Menteri Besar Kedah itu turut mengkritik pendekatan kerajaan dalam menangani isu penghinaan agama, termasuk kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang menyarankan pendekatan pendidikan berbanding hukuman.
Menurutnya, pendekatan sedemikian tidak memadai dalam kes yang disifatkan sudah melampaui batas.
Dalam masa sama, Sanusi mendakwa terdapat kecenderungan menyalahkan tokoh agama dan institusi agama dalam isu tertentu, sedangkan pihak lain yang terlibat tidak ditegur secara tegas.
“Keadaan ini menggambarkan kemerosotan kekuatan Islam apabila pihak yang diberi kuasa dilihat gagal mempertahankannya secara berkesan,” katanya.
Beliau turut menyelar segelintir pihak yang tidak dapat menerima pendekatan beliau dalam membuat teguran, yang disifatkan terlalu kasar bahasanya.
“Saya tak boleh sebut perkataan itu, mereka marah, mereka koyak. Mereka pakat marah saya sebab suka sebut perkataan itu. Saya orang Kedah tulen, memang orang Kedah kalau marah dia akan kata macam itu.
“Sampai ke tahap itu (melampau), masih nak didik, tak nak pakai hukuman, saya nak kata macam mana lagi, biarkan perkara itu terus berlaku,” soal beliau.

0 Comments