SANUSI AKUI MENCABAR PIKUL DUA TANGGUNGJAWAB BESAR

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengakui tugasnya semakin mencabar apabila memikul dua tanggungjawab besar dalam parti, iaitu selaku Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN) dan mengetuai jentera pilihan raya PAS.

Beliau berkata, pelantikan tersebut menjadikan tugasnya semakin ‘berat’, apatah lagi dalam situasi kewangan PN yang amat terhad pada ketika ini.

“Di PN, saya Bendahari Agung, dalam masa sama masih Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat. Jadi saya kena buat dua kerja, bukan ringan, makin berat. Jentera PAS masih saya kepalai, jadi kedua-dua kerja ini saya kena uruskan serentak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Menurut Sanusi, antara fokus utamanya ialah memastikan pengurusan kewangan PN berjalan lancar dan mempunyai dana mencukupi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.

“Saya dah buat audit akaun PN, kita nak pastikan apa yang kita ada. Duit di ibu pejabat cuma RM2,700 sahaja. Ini menggambarkan cabaran besar dalam mengurus dana parti. Kita akan uruskan kewangan dalam keadaan paling baik,” katanya.

Beliau tegaskan, pengalaman mengendalikan jentera pilihan raya PAS dalam keadaan dana terhad sebelum ini menjadi kelebihan untuk memastikan gerak kerja PN terus berjalan.

“Selama saya mengepalai jentera pilihan raya, kita mampu bergerak walaupun kekurangan dana. Itu pengalaman yang kita akan guna,” katanya.

Dalam pada itu, beliau tegaskan, kekuatan PN juga bergantung kepada kecekapan jentera dan kewangan parti komponen seperti PAS dan BERSATU.

“Bila jentera parti komponen bergerak efisien dan kewangan diurus baik, PN akan jadi kukuh dengan sendirinya,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru penyokong dan ahli parti menyumbang dana sebagai persiapan menghadapi PRU16.

Katanya, kos operasi bagi satu kerusi Parlimen dianggarkan mencecah sekurang-kurangnya RM1 juta, sekali gus memerlukan jumlah besar jika bertanding lebih banyak kerusi.

“Saya pernah sebut dalam Muktamar PAS, kos operasi pilihan raya satu kerusi Parlimen cecah RM1 juta.

Janganlah nak tipu dan tak mengaku, kita tahu mereka habis lebih daripada itu lagi.  

“Saya dengar ada rakan-rakan di parti lain kerusi DUN berhabisan RM6 juta. Anggaran saya satu kerusi Parlimen yang dibawahnya mungkin ada dua, tiga atau empat DUN, minimum perlu ada RM1 juta. Jika tak boleh belanja melebihi RM100,000 setiap kerusi, dulu bolehlah begitu, sekarang semua bahan PRU makin mahal.

“Kalau tanding 100 kerusi, sekurang-kurangnya RM100 juta diperlukan. Itu realiti, jangan nafikan,” katanya.

Tambah beliau, PAS mempunyai kelebihan apabila dana parti banyak bergantung kepada sumbangan ahli yang disalurkan secara langsung, selain penggunaan tenaga sukarela bagi mengurangkan kos.

“Kita tidak belanja secara tunai sepenuhnya, banyak guna tenaga sukarela seperti gotong-royong, jadi kos sebenar dapat dikurangkan. Kita tak lantik kontraktor, kita buat sendiri, sebab itu kos lebih rendah,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, PN tidak akan menggunakan kaedah tidak beretika seperti menyalahgunakan dana kerajaan untuk tujuan kempen politik.

“Sistem curi duit kerajaan untuk politik itu merosakkan negara. Kita tidak akan guna cara itu, sebaliknya bergantung kepada derma ahli.

“Untuk PRU akan datang mungkin persiapan dan pendekatan lebih ‘sophisticated’ dan belanjanya lebih sikit, jadi derma lah. Ahli PAS derma kepada PAS dan bila ada duit, PAS buat kerja untuk PN, dengan sendirinya PN ada duit. Nak cari duit banyak-banyak, siapa nak bagi?” soalnya.

Sanusi berkata, konsep menderma kepada parti akan dihidupkan dalam PN seperti mana diamalkan dalam PAS.

“Macam mana PAS hidup, macam itulah PN akan hidup. Jangan berharap Bendahari pergi cari duit berkajang-kajang untuk PN. Untuk menghidupkan politik sihat, parti-parti politik hidup dengan derma daripada ahlinya.

“Kita sertai politik kerana perjuangan, untuk menjadikan negara ini lebih baik. Perjuangan saya ialah menyumbang kepada parti, parti saya bawa perjuangan yang baik dan bila menang, jadilah kerajaan yang baik, maka selamatlah Malaysia. 

“Jadi ikutlah cara saya, derma kepada parti, parti selamatkan kerajaan, kerajaan selamatkan negara,” katanya. 

Sebelum ini, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PN.

Sementara jawatan Bendahari Agung PN kini disandang oleh Sanusi yang sebelum ini merupakan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN.

Post a Comment

0 Comments