RUMAH TERBUKA AIDILFITRI: PERANCANGAN DIBUAT LEBIH AWAL, TAK WAJAR BATAL ELAK PEMBAZIRAN

 

Oleh: Roslinda Hashim  

KUBANG PASU - Penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Kedah diteruskan walaupun Kerajaan Persekutuan tidak menganjurkannya kerana segala persiapan telah dibuat lebih awal.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, semua perancangan dilaksanakan lebih awal dan tidak sewajarnya membatalkannya bagi mengelak pembaziran.

Menurut beliau, penganjuran acara tahunan itu juga tidak memberi implikasi kewangan tinggi berikutan ia dianjurkan secara gotong-royong bersama agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Kita sudah pasang khemah, perolehan pun selesai dan makanan telah ditempah awal. Jadi kita teruskan seperti dirancang. Siapa ada kelapangan, pakat mai. Kita juga sediakan duit raya kepada kanak-kanak,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa Daerah Kubang Pasu di Masjid Ar-Rahmah, Melele, dekat sini.

Sanusi turut menjangkakan kehadiran lebih ramai pengunjung pada tahun ini berikutan masih dalam musim cuti persekolahan.

Orang ramai dijemput menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Kedah yang akan diadakan di Seri Mentaloon pada 27 Mac ini bermula pukul 5 petang hingga 10 malam.

Sebelum ini, terdapat segelintir pihak mempertikaikan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Kedah susulan Kerajaan Persekutuan tidak menganjurkan sebarang acara berkaitan. 

Sementara itu, Sanusi menasihatkan anak perantauan yang pulang ke kampung halaman agar sentiasa berhati-hati di jalan raya.

“Jangan pandu dalam keadaan kalut atau mengantuk. Kalau letih, berhenti rehat dahulu sebelum meneruskan perjalanan.

“Sekelip mata cuai boleh menyebabkan kemalangan. Jika letih, lebih baik berhenti daripada meneruskan perjalanan dalam ketidaktentuan. Saya doakan semua dalam perjalanan pulang ke Kedah selamat tiba bertemu keluarga masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, sempena Ramadan, beliau turut menyeru masyarakat supaya saling bermaafan dan membersihkan hati.

“Kita maafkan orang yang pernah menyakiti kita dan saya juga memohon maaf jika ada kata-kata yang mengguris perasaan mana-mana pihak. Dengan memaafkan, hati akan lebih tenang,” katanya.

Terdahulu, seramai 600 penerima di daerah ini menerima sumbangan melibatkan empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Jitra, Kota Siputeh, Bukit Kayu Hitam dan Ayer Hitam dengan setiap DUN diwakili 150 penerima.

Penerima terdiri daripada guru al-Quran, jurumandi jenazah, penggali kubur, bomoh patah, bidan kampung serta mualaf.

Menurut Sanusi, program itu merupakan majlis berbuka puasa terakhir di peringkat daerah bagi tahun ini selepas beliau menghadiri program sama di beberapa daerah lain sebelum ini.

“Tahun ini saya pilih lima daerah sahaja, berbanding sebelum ini melibatkan semua 12 daerah,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, Kerajaan Negeri telah menyalurkan sumbangan kepada kira-kira 5,400 penerima di seluruh Kedah tahun ini dan jumlah itu berpotensi ditingkatkan pada masa hadapan.


“Kalau rezeki negeri bertambah, kita harap tahun depan boleh capai sehingga 7,000 penerima,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments