KENYATAAN MEDIA
DEWAN ULAMAK PAS PUSAT (DUPP)
Oleh: Dato’ Ustaz Mohd Noor bin Hamzah
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menzahirkan rasa dukacita dan hiba yang amat mendalam atas berita tragis yang menimpa Allahyarham Amirul Hafiz bin Omar, yang dilaporkan maut akibat dirempuh pemandu mabuk sehingga jasadnya tercampak ke atas bumbung kenderaan. Kita kehilangan seorang insan, dan yang lebih menyedihkan, sebuah keluarga kehilangan ketua keluarga dan tempat bergantung punca rezeki.
2. Kami mendoakan agar roh Allahyarham dicurahkan rahmat, diampunkan segala dosa, dan ditempatkan dalam kalangan solihin. Kepada keluarga Allahyarham, kami rakamkan ucapan takziah dan simpati yang tidak terhingga. Semoga kalian tabah menghadapi ujian yang cukup berat ini.
3. Persoalan besar kami kepada kerajaan hari ini, sampai bilakah lagi rakyat perlu menjadi korban akibat kegilaan pemandu mabuk? Adakah nyawa rakyat Malaysia semurah itu sehingga kita terpaksa membaca berita ngeri sebegini saban waktu? Kes Allahyarham Amirul Hafiz ini bukan sekadar statistik, ia adalah kegagalan sistem penguatkuasaan yang tegas untuk mengekang "pembunuh di jalan raya" ini.
4. Merujuk kepada statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Malaysian Institute Of Road Safety Research (MIROS), trend kemalangan melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol tetap berada pada tahap yang membimbangkan. Walaupun pindaan Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan telah dibuat, namun kekerapan kes yang berlaku menunjukkan seolah-olah tiada rasa gerun dalam kalangan pemandu ini terhadap undang-undang sedia ada.
5. DUPP mendesak Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke, agar tidak sekadar berpeluk tubuh atau mengeluarkan kenyataan retorik. Nyawa rakyat adalah amanah di bawah kementerian anda! Kami menuntut satu pelan tindakan drastik dan penguatkuasaan yang lebih agresif. Jangan tunggu sehingga lebih banyak nyawa melayang baru mahu bertindak. Siapa yang akan membela nasib balu dan anak-anak Allahyarham Amirul Hafiz yang kini telah kehilangan nakhoda? Adakah kerajaan mahu membiarkan mereka terus merana tanpa pembelaan yang sewajarnya?
6. Buat pemimpin Islam yang sedang berada dalam kabinet termasuk Perdana Menteri, kami ingin mengingatkan rakan-rakan pemimpin Islam di dalam kabinet dengan pesanan Saidina Umar al-Khattab RA yang sangat masyhur:
لَوْ مَاتَتْ شَاةٌ عَلَى شَطِّ الْفُرَاتِ ضَائِعَةً لَظَنَنْتُ أَنَّ اللَّهَ تَعَالَى سَائِلِي عَنْهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Bermaksud: "Sekiranya seekor kambing mati di pinggir Sungai Furat kerana diabaikan, aku bimbang Allah akan menyoalku di akhirat kelak."
7. Jika Saidina Umar takutkan persoalan Allah tentang seekor kambing, bagaimana kalian tidak merasa gerun apabila seorang rakyat, seorang saudara seakidah, mati dibunuh di jalan raya akibat kecuaian undang-undang dan kelonggaran penguatkuasaan terhadap arak dan pemandunya? Setiap titis darah yang tumpah akibat kelemahan tadbir urus ini akan dituntut di hadapan Allah SWT kelak. Janganlah kerusi kuasa membutakan mata hati daripada membela nyawa rakyat.
8. DUPP menegaskan bahawa isu pemandu mabuk ini memerlukan ketegasan tanpa kompromi. Kami menuntut keadilan buat Allahyarham Amirul Hafiz bin Omar dan jaminan keselamatan buat seluruh rakyat Malaysia.
YB DATO’ USTAZ MOHD NOR BIN HAMZAH
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
30 Mac 2026 Miladi bersamaan 10 Syawal 1447 Hijri

0 Comments