BUMI KEDAH MULA DIBASAHI HUJAN

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Selepas lebih sebulan berdepan cuaca panas berpanjangan, beberapa kawasan di Kedah dan Perlis akhirnya mula menerima hujan pada petang Ahad, sekali gus melegakan rakyat yang sekian lama menanti kehadirannya.

Walaupun seketika, hujan rahmat itu seakan memakbulkan doa rakyatnya selepas penganjuran Solat Sunat Istisqa’ (solat minta hujan) yang diadakan pada 26 Mac lalu.

Di Kedah, hujan dilaporkan mula membasahi beberapa daerah pada sebelah petang dan berterusan hingga malam selepas negeri itu dilanda cuaca kering sejak awal Februari.

Pengarah Pejabat Meteorologi Kedah, Muhammad Khalil Abdul Aziz berkata, hampir semua daerah di negeri ini kecuali Langkawi dan Bandar Baharu diramalkan menerima hujan atau ribut petir.

Menurutnya, keadaan itu selari dengan fasa peralihan monsun yang lazimnya membawa hujan serta ribut petir pada sebelah petang.

“Ada beberapa kawasan dan daerah sudah menerima hujan pada petang Ahad seperti jangkaan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap perubahan cuaca serta merujuk laman web atau media sosial METMalaysia untuk mendapatkan maklumat terkini,” katanya.

Sebelum ini, daerah Kota Setar dilaporkan mengalami gelombang haba tahap dua selain tidak menerima hujan lebih sebulan, sekali gus menambah tekanan akibat cuaca panas yang berlarutan.

Pada Ahad, seramai 86,030 pelajar daripada 206 sekolah di daerah Kota Setar dan Pendang terpaksa menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama tiga hari selepas kedua-dua daerah itu merekodkan suhu Tahap Dua selama tiga hari berturut-turut sejak Khamis lalu.

Sementara, di Perlis, antara kawasan yang menerima taburan hujan termasuk sekitar Santuari Ikan Air Tawar Tasik Timah Tasoh, Beseri, Bukit Jernih, Batu Bertangkup, Belukar Lenga, Kubang Tiga, Bukit Chabang dan Semadong.

Sebelum ini keadaan cuaca panas melampau serta penyusutan paras air di Empangan Timah Tasoh menimbulkan kebimbangan, khususnya terhadap ribuan ikan air tawar di sangkar santuari di empangan tersebut.

Sementara di media sosial, netizen turut melahirkan rasa kesyukuran setelah bumi Kedah dibasahi hujan biarpun dalam tempoh singkat.

“Alhamdulillah, kami orang Kedah bersyukur hujan turun di negeri Kedah Darul Aman. Semoga hujan turun di semua negeri.. Aamiin” - Liayana Rahman

“Alhamdulillah. Terima Kasih ALLAH SWT. Berkat doa penduduk yang buat sembahyang sunat minta hujan baru2 ni” - Strabiah Abu Hassan

“Alhamdulillah di atas nikmat Allah yang tepat. Semasa panas memuncak dapat hujan yang menyejukkan” - Opah Teh

Post a Comment

0 Comments