LONJAKAN HARGA INPUT PERTANIAN ANCAM SEKTOR MAKANAN, KERAJAAN DIGESA SEGERA BERTINDAK

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Lonjakan harga input pertanian khususnya baja global dijangka memberi kesan langsung kepada kos pengeluaran makanan negara susulan ketegangan di Asia Barat, sekali gus berpotensi meningkatkan harga makanan dan menekan kos sara hidup rakyat.

Pengerusi Lajnah Pertanian dan Kelestarian Alam Sekitar (LATAS) PAS, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, situasi tersebut bukan sekadar menyaksikan turun naik harga komoditi, sebaliknya menjadi ujian terhadap ketahanan sistem pertanian serta tahap keterjaminan makanan negara.

Menurutnya, baja merupakan input strategik dalam sektor pertanian dan peningkatan harganya akan memberi kesan langsung kepada pengeluaran hasil.

“Jika petani mengurangkan penggunaan baja bagi menampung kos, hasil akan merosot. Namun jika kos diserap, tekanan itu akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan harga makanan dan inflasi dan tekanan kos sara hidup,” katanya dalam satu kenyataan.

Azman tegaskan, kerajaan wajar bertindak segera dan pada masa sama perlu membuat penilaian berdasarkan dasar lebih tersusun, indikator boleh ukur serta pelaksanaan yang boleh diaudit, bukannya sekadar kenyataan bahawa bekalan makanan negara masih terjamin.

“Kenyataan ‘bekalan makanan terjamin’ penting untuk menenangkan pasaran, tetapi ia tidak mencukupi jika tidak disertai pelan menyeluruh untuk mengurus risiko input pertanian serta pergantungan import yang tinggi,” katanya.

Tambah beliau, antara kelemahan utama sistem makanan negara ialah kebergantungan tinggi terhadap import input pertanian, khususnya dalam sektor ternakan.

“Malaysia bergantung hampir sepenuhnya kepada bahan makanan ternakan seperti jagung dan soya yang diimport, dengan anggaran antara 98 hingga 100 peratus bagi komponen utama,” ujarnya.

Katanya, keadaan itu menjadikan sektor ternakan mudah terjejas apabila berlaku konflik global, selain tahap sara diri makanan yang masih rendah bagi beberapa komoditi penting seperti daging lembu.

“Apabila sistem bergantung kepada import makanan ternakan dan masih mengimport sebahagian besar daging, kita bukan sahaja berdepan risiko kekurangan bekalan, tetapi juga pendedahan harga terhadap volatiliti global.

“Kestabilan harga semasa mungkin hanya bersifat sementara berikutan wujudnya tempoh lengah dalam rantaian bekalan, sebelum kos global diterjemahkan kepada harga runcit.

“Lazimnya, kesan penuh kenaikan kos global hanya dirasai selepas dua hingga enam bulan apabila stok baharu yang lebih mahal menggantikan stok lama dan pengeluar tidak lagi mampu menyerap kos.

“Subsidi bersasar dan kawalan harga bagi beberapa item keperluan turut menangguhkan kenaikan di peringkat pengguna. Namun, penangguhan ini tidak boleh dianggap sebagai bukti sistem kukuh,” ujarnya.

Sehubungan itu, LATAS menggesa kerajaan mengambil langkah segera dengan melakukan penambahbaikan dasar selain tidak terbatas kepada pelan kecemasan dan libat urus tanpa KPI yang jelas dalam menangani krisis.

“Negara memerlukan indikator seperti sasaran harga rujukan baja, sasaran stok penimbal, tempoh penghantaran, serta mekanisme intervensi apabila harga melonjak. Pergantungan import makanan ternakan menuntut pelan pengurangan risiko yang lebih realistik dan berfasa, bukan sekadar seruan agar rakyat bercucuk tanam,” katanya.

LATAS mencadangkan beberapa langkah konstruktif untuk perhatian kerajaan, antaranya  mewujudkan stok penimbal baja kritikal dan input makanan ternakan bagi mengurangkan kejutan harga dan gangguan bekalan. 

“Cadangan lain, mempelbagaikan sumber import dan rundingan antara kerajaan (G2G) bagi input strategik seperti baja, jagung dan soya. 

“Selain memperkukuh pengeluaran input tempatan seperti biofertiliser, kompos berskala industri, serta sumber makanan ternakan alternatif tempatan,” katanya.

Selain itu, LATAS turut mencadangkan pelaksanaan skim sokongan input bersasar kepada petani kecil dan pengeluar makanan asas, berdasarkan kos operasi sebenar dengan mekanisme penyaluran yang lebih cekap dan telus.

“Lonjakan harga baja bukan isu bermusim, sebaliknya isyarat jelas bahawa sistem makanan negara perlu diperkukuh sebagai agenda keselamatan ekonomi,” katanya.

Menurutnya, reformasi berstruktur mampu mengurangkan tekanan harga makanan dan memperkukuh keterjaminan makanan negara demi kesejahteraan rakyat.

Post a Comment

0 Comments