Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Persiapan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon berada pada tahap 95 peratus, dengan penyediaan makanan dan minuman untuk 80,000 pengunjung.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Rumah Terbuka Aidilfitri, Dato’ Ustazah Hajah Siti Ashah Ghazali berkata, persiapan akhir turut melibatkan tiga seksyen, iaitu seksyen A, B dan C bagi menampung kehadiran orang ramai yang dijangka mencecah 5,000 pengunjung pada satu-satu masa.
“Setakat tinjauan 11 pagi ini, persiapan telah mencapai 95 peratus siap. Kita tambah Seksyen C tahun ini di hadapan bulatan kediaman rasmi, berbanding hanya dua seksyen sebelum ini bagi memberi lebih ruang kepada pengunjung,” katanya selepas mengadakan lawatan tapak di sini, hari ini.
Menurut Siti Ashah, sebanyak 46 menu disediakan termasuk hidangan popular seperti nasi daging, kambing barbeku, sate, ais kacang, bihun sup, nasi minyak serta lemang dan ketupat.
Katanya, kelainan tahun ini turut menyaksikan tambahan limau mandarin sebanyak kira-kira 10,000 biji hasil sumbangan Exco Kerajaan Negeri, Wong Chia Zhen.
“Seksyen C menampilkan menu daripada tujuh influencer termasuk Laksa Tam Jebat, nasi jagung lauk kenduri, tauhu crispy, Nasi Kabsah Ustaz Firdaus Farabib, Aisyah Pak Karim, Faiz Soul dan Roti Canai Terbang, yang mula beroperasi pada pukul 8 malam.
“Seksyen A adalah pentas utama untuk kenamaan serta hidangan nasi, kambing barbeku, satay, ais kacang.
Seksyen B pula menyediakan menu bihun sup, nasi minyak, apom balik, lemang dan ketupat serta menu tambahan seperti kuih raya, donut, kuey teow goreng di Seksyen C,” katanya.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah memaklumkan, pelbagai kemudahan turut disediakan termasuk parkir tambahan di Muzium Negeri selain pengangkutan air menggunakan bot dari muzium ke Seri Mentaloon dengan tempoh perjalanan kira-kira 10 minit.
“Mereka yang ingin merasai pengalaman baharu menaiki bot pada malam hari sambil melihat keindahan bandar menyusuri Sungai Kedah, boleh berbuat demikian dengan parkir kenderaan di Muzium Negeri, untuk ke Seri Mentaloon.
“Turut disediakan 40 buah motosikal, sebagai perkhidmatan membawa pengunjung yang terperangkap dalam kesesakan atau dari kawasan parkir ke lokasi majlis,” katanya.
Tambah beliau, sambil menjamu selera orang ramai turut dihiburkan dengan persembahan artis terkenal seperti Datuk M. Nasir, Mawi, Haziq Rosebi, Oja serta Kumpulan NADA pada sebelah malam.
“Majlis berlangsung dari pukul 5 petang hingga 11 malam, namun jika ada yang datang seawal 4 petang, pintu Seri Mentaloon bersedia menyambut pengunjung.
“Turut disediakan duit raya untuk kanak-kanak selain kemudahan surau berasingan untuk lelaki dan wanita.
Dewan Mentaloon dijadikan surau untuk muslimin dan surau sedia untuk muslimat menunaikan solat,” katanya.
Tambah beliau, seluruh rakyat Kedah dan orang ramai dijemput hadir memeriahkan majlis secara santai.
“Datanglah memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri ini memandangkan masih dalam cuti persekolahan, saya mengalu-alukan semua pengunjung untuk hadir. Banyak makanan yang kita sediakan kepada seluruh rakyat Kedah dan sesiapa sahaja yang sudi hadir.
“Pengunjung bebas untuk duduk dan makan di mana-mana ruang kosong, jika ada yang mahu bawa tikar pun dibenarkan, manfaatkan keseluruhan ruang yang ada,” katanya.

0 Comments