RUU Had Penggal PM Gagal: siapa patut dipersalahkan?

 

Oleh: Dr Mukhtaruddin Musa
Ketua Penyelidik (Governans & Polisi), Yayasan Strategik Lestari & Pemerhati Politik
 
Kegagalan kerajaan memperoleh kelulusan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun membuka satu naratif mudah tetapi tersasar: kononnya pembangkang tidak peka terhadap kepentingan negara, malah 'kerjanya membangkang'.
Lebih keras, wujud seruan agar rakyat menghukum ahli Parlimen yang tidak menyokong RUU tersebut. Naratif begini cepat hidup kerana ringkas, sedap didengar, dan jelas ada 'pihak yang dipersalahkan'.
Namun realiti Parlimen tidak sederhana itu. Kita perlu membezakan antara RUU yang gagal diluluskan dengan usaha politik mengalihkan tanggungjawab.
Secara asas, kejadian ini mudah difahami. Pindaan Perlembagaan memerlukan sokongan majoriti dua pertiga, iaitu sekurang-kurangnya 148 undi. Keputusan undi belah bahagi menunjukkan 146 ahli Parlimen bersetuju, 32 tidak hadir, manakala 44 tidak mengundi. Ertinya, RUU itu gagal bukan kerana 'pembangkang menolak semuanya', tetapi kerana jumlah sokongan yang terkumpul tidak mencukupi untuk mencapai ambang dua pertiga.
Dalam keadaan begini, menyalahkan pembangkang secara total hanya mengaburkan persoalan yang lebih penting: mengapa kerajaan tidak berjaya memastikan sokongan mencukupi sedangkan kerajaan mempunyai kelebihan angka dan kuasa pengurusan di Dewan?
Tambahan pula, apabila ada parti dalam kerajaan sendiri menggesa rakyat mempersoalkan ahli Parlimen yang tidak hadir atau tidak menyokong, ia secara tidak langsung mengakui masalahnya bukan semata-mata di blok pembangkang.
Ini membawa kita kepada prinsip asas dalam sistem Parlimen: beban utama kelulusan RUU kerajaan terletak pada kerajaan. Kerajaan yang membentangkan RUU bertanggungjawab memastikan disiplin kehadiran, penyelarasan komponen, dan rundingan sokongan berjalan rapi.
Pindaan Perlembagaan bukan seperti meluluskan rang undang-undang biasa; ia memerlukan perancangan lebih teliti dan 'whip' yang tegas. Jika kerajaan gagal mengurus kehadiran, gagal menyatukan komponen, atau gagal memujuk sokongan rentas blok, kegagalan itu tidak wajar dipindahkan bulat-bulat kepada pembangkang.
Kenapa kerajaan gagal walaupun 'sepatutnya lepas'?
Perbahasan paling penting yang ramai terlepas pandang ialah: RUU ini gagal dengan margin sangat kecil - kurang dua undi.
Apabila jurangnya begitu kecil, ada dua kemungkinan munasabah.
Pertama, kelemahan disiplin dan koordinasi kerajaan sendiri. Jika kerajaan benar-benar komited, angka sepatutnya boleh diurus. Ketidakhadiran 32 ahli Parlimen dan kewujudan 44 yang tidak mengundi bukan isu remeh, lebih-lebih lagi apabila pindaan Perlembagaan memerlukan kehadiran dan sokongan yang hampir sempurna daripada blok kerajaan.
Kedua, proses rundingan tidak cukup meyakinkan. Dalam pindaan Perlembagaan, kerajaan lazimnya perlu membina konsensus merentas parti termasuk pembangkang, sekurang-kurangnya pada aspek teknikal dan pelaksanaan. Jika sebahagian ahli pembangkang memilih tidak mengundi atau berkecuali, ia mungkin petunjuk bahawa mereka tidak menolak idea itu secara mutlak, tetapi mahukan penambahbaikan, jaminan, atau mekanisme pelaksanaan yang lebih kukuh. Sejarah menunjukkan kesepakatan rentas parti boleh dicapai apabila rundingan dilakukan dengan serius.
Contohnya, pindaan berkaitan umur mengundi daripada 21 kepada 18 pada 2019 diluluskan secara sebulat suara membuktikan apabila kerangka pindaan jelas dan diterima bersama, kerajaan dan pembangkang mampu sepakat demi kepentingan negara.
Dalam kedua-dua keadaan, kerajaan MADANI tidak boleh lari daripada tanggungjawab sebagai pengemudi. Menyalahkan pembangkang melalui kenyataan keras atau kempen 'hukum mereka yang tidak sokong' lebih kelihatan sebagai usaha menutup kelemahan pengurusan RUU itu sendiri, bukan usaha menjelaskan kepada rakyat mengapa pindaan yang kononnya penting gagal diluluskan.
PAS/PN: 'membangkang' atau menghantar isyarat?
Persoalan 'betulkah pembangkang kerjanya membangkang?' Sebenarnya ada jawapan yang jelas: tidak semestinya.
Dalam Parlimen yang matang, pembangkang mempunyai tiga pilihan yang sah - menyokong, menolak, atau berkecuali (bergantung kepada kandungan dasar, proses, dan ruang penambahbaikan).
Dalam praktik politik, tindakan berkecuali atau tidak mengundi sering membawa mesej: kami tidak menolak idea itu sepenuhnya, tetapi kami tidak mahu memberi cek kosong tanpa pindaan atau jaminan tertentu. Ini berbeza daripada menolak secara total.
Di sinilah pentingnya konteks sejarah. Dalam politik Malaysia, undi belah bahagi bukan semata-mata alat untuk 'menolak dasar', tetapi alat untuk mengukur majoriti dan menghantar mesej politik.
Contoh, Belanjawan 2021 ketika kerajaan PN ketika itu mempunyai majoriti tipis; belanjawan tersebut diluluskan melalui undian belah bahagi dengan margin kecil. Dalam episod seperti ini, undi belah bahagi berfungsi sebagai ukuran kekuatan kerajaan, bukan semata-mata ukuran baik atau buruknya sesuatu cadangan.
Maka, jika kita mahu adil, jangan menjadikan undi belah bahagi sebagai 'ujian moral' hanya apabila ia tidak memihak kepada kerajaan semasa. Undi belah bahagi ialah mekanisme Parlimen: ia boleh menjadi medan prinsip, ia juga boleh menjadi medan strategi. Kedua-duanya wujud dalam demokrasi berparlimen.
Dalam konteks RUU had penggal PM, tindakan pembangkang memilih berkecuali atau tidak mengundi boleh dibaca sebagai isyarat bahawa mereka tidak menolak konsep had penggal secara prinsip, tetapi mahukan penambahbaikan atau kejelasan tertentu. Jika benar begitu, jalan yang betul bagi kerajaan ialah berunding secara lebih tersusun, bukan membina naratif pembangkang 'anti pembaharuan' semata-mata.
Ke mana arah politik selepas kegagalan ini?
Kegagalan RUU had penggal PM tidak wajar dijadikan bukti bahawa 'pembangkang jahat' atau 'pembangkang menolak segala yang baik'. Data menunjukkan RUU itu gagal kerana tidak mencapai ambang dua pertiga, dengan faktor ketidakhadiran dan tidak mengundi yang besar.
Justeru, kerajaan perlu memikul tanggungjawab mengurus konsensus dan disiplin, bukan menyalakan kemarahan rakyat untuk menutup kelemahan sendiri.
Pada masa sama, kegagalan ini membangkitkan persoalan politik yang lebih besar: adakah wujud masalah penyelarasan dalam blok kerajaan sendiri? Adakah agenda reformasi institusi kerajaan menghadapi tentangan senyap atau dilema dalaman?
Dan dalam suasana politik yang cepat berubah, adakah wujud kemungkinan pilihan raya dipercepatkan sebelum tamat tempoh Parlimen? Buat masa ini, semua itu masih dalam ruang tafsiran. Namun satu pengajaran jelas: apabila kerajaan gagal mengurus pindaan Perlembagaan yang dibawanya sendiri, rakyat mula menilai bukan sahaja isi RUU tetapi keupayaan kerajaan mengurus kuasa dengan tertib, konsisten dan meyakinkan.

Post a Comment

0 Comments