Oleh: Roslinda Hashim
KULIM - Pekan Kulim kini tampil berseri dengan limpahan cahaya lampu hiasan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, sekali gus menceriakan suasana bandar dan menghidupkan semangat perayaan kalangan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Wong Chia Zhen berkata, inisiatif tersebut antara usaha mencantikkan persekitaran bandar selain menyemarakkan sambutan Aidilfitri.
Menurutnya, program tersebut merupakan tahun kedua berturut-turut dilaksanakan oleh Pusat Khidmat DUN Kulim sebagai usaha berterusan menceriakan kawasan bandar setiap kali musim perayaan.
“Bermula 16 Mac, Pekan Kulim bersinar indah dengan pemasangan lampu hiasan yang bukan sahaja mencantikkan persekitaran, malah membawa keceriaan kepada seluruh warga Kulim yang pulang berhari raya bersama keluarga,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyalaan Lampu Hiasan Hari Raya Aidilfitri DUN Kulim, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam serta NGO itu berkata, cahaya lampu yang menerangi bandar itu turut melambangkan harapan, perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di kawasan berkenaan.
“Semoga Kulim terus makmur dan bercahaya, membawa sinar harapan untuk masa depan.
“Dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan, kita raikan kebersamaan tanpa mengira kaum dan agama. Inilah semangat Kulim dan wajah sebenar Kedah,” ujarnya.
Tambah beliau, inisiatif berkenaan diharap dapat terus menyemarakkan suasana Aidilfitri selain menjadikan Kulim sebagai bandar yang makmur dan penuh cahaya harapan untuk masa depan.

0 Comments