Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - PAS diyakini mampu memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam negara susulan peningkatan penerimaan rakyat terhadap parti itu sejak kebelakangan ini.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keyakinan itu berdasarkan kemampuan PAS mentadbir negeri-negeri yang dimenangi selain prestasi parti itu dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
Menurut beliau, PAS kini semakin mendapat tempat kalangan rakyat sekali gus membuka ruang untuk parti itu diberi kepercayaan memegang lebih banyak jawatan penting pada masa hadapan.
“PAS hari ini semakin diterima. Kita sudah mula memegang peranan penting termasuk sebagai Pengerusi Perikatan Nasional.
“Insya-ALLAH selepas ini, saya yakin jawatan-jawatan penting lain juga akan mula difikirkan untuk diberikan kepada PAS dan kita akan buktikan kemampuan mentadbir serta memikul amanah tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Nuzul Quran PAS Kedah di Kompleks PAS Kedah, di sini.
Tuan Ibrahim berkata, empat negeri yang ditadbir PAS, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis perlu dipertahankan serta dijadikan model pentadbiran berasaskan keadilan Islam.
“Walaupun Perlis ada gangguan sedikit, apa yang jelas ialah mempertahankan kemenangan kita dalam pilihan raya lepas.
“Apabila kita menunjukkan contoh yang baik dari segi pentadbiran, perpaduan kaum dan keharmonian masyarakat, orang bukan Islam akan lebih dekat dengan kita,” ujarnya.
Tuan Ibrahim turut menjangkakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal menjadi petunjuk penting menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
“Tahun ini kita akan berdepan dengan PRN Melaka, dijangka mungkin sekitar Ogos hingga November dan akan menjadi perhatian semua parti politik sebagai indikator sokongan rakyat.
“Insya-ALLAH dengan panduan tersebut kita doakan ALLAH SWT berikan kemenangan kepada kita dalam PRU16,” katanya.
Beliau berkata, sebelum ini keputusan pilihan raya di Sabah turut dijadikan petunjuk, namun ia tidak menggambarkan sepenuhnya sokongan rakyat di seluruh negara.
“PRU Sabah menyaksikan DAP kalah teruk, UMNO kalah teruk, PH lagi teruk. Di tengah-tengah situasi itu berlaku peningkatan sokongan terhadap PAS.
“Daripada kosong kepada satu kerusi, sebelum ini kita hanya ada ADUN dilantik. Ternyata apabila kita dilantik, kita buktikan prestasi baik dan akhirnya pengundi pilih PAS,” katanya.
Tambah beliau, situasi hampir sama turut berlaku di Johor apabila PAS mula meraih kemenangan selepas diberikan mandat oleh rakyat.
“Bermula dengan kesilapan teknikal borang disalah isi pada ketika itu telah memberi kemenangan kepada PAS. Kemenangan itu kemudiannya menyaksikan kemenangan demi kemenangan di Johor,” katanya.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim tegaskan, PAS juga memberi tumpuan kepada usaha mentarbiah generasi muda melalui institusi pendidikan termasuk pondok pengajian dan sekolah tahfiz bagi melahirkan generasi yang mampu memimpin masyarakat berteraskan nilai Islam.
“Apabila Islam datang, ia bukan membawa masalah tetapi menyelesaikan masalah. Namun ada paksi yang tidak boleh dikompromi, iaitu akidah dan ibadah yang difardukan ALLAH SWT, dan daripada asas itu akan lahirlah syariat yang akhirnya membentuk akhlak yang baik,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan itu bukan sahaja digerakkan di peringkat negeri malah turut menjadi tumpuan di peringkat Persekutuan bagi memastikan masa depan Islam terus diperkukuh.
“PAS ini payah nak pecah telurnya, namun apabila pecah akan lahir ramai generasi yang akan memberikan kita kemenangan. Insya-ALLAH, masa depan untuk Islam dengan kekuatan yang kita ada.
“Kalau kita ibaratkan pokok, benih yang baik, ditanam di tanah yang baik dengan baja dan siraman yang baik. Maka pokok tumbuh subur, namun perlu ada pagar yang menjaga pokok itu, iaitu syariat. Hasilnya lahirlah akhlak yang baik.

0 Comments