BANTUAN KHAS AIDILFITRI RM1,000 KEPADA PENJAWAT AWAM KEDAH

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2026 sebanyak RM1,000 kepada 5,600 penjawat awam di negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bantuan khas sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri itu akan dibayar pada 13 Mac ini.

Menurut beliau, bantuan khas itu melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM5.6 juta dan merupakan sebahagian daripada bantuan kewangan khas yang diumumkan dalam pembentangan Bajet Kedah 2026.

"Pemberian bantuan khas ini diharap dapat membantu penjawat awam negeri membuat persiapan menyambut Aidilfitri sebagai menghargai komitmen mereka dalam melaksanakan tanggungjawab kepada kerajaan dan rakyat negeri ini," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri 2026 di Wisma Darul Aman, hari ini.

Pada November 2025, Kerajaan Negeri mengumumkan bantuan khas kewangan berjumlah RM2,000 kepada penjawat awam negeri sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka dalam perkhidmatan awam.

Keseluruhan bantuan khas kewangan tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM10 juta.

Pembayaran dibuat secara berperingkat, iaitu sebahagiannya disalurkan pada Januari sempena pembukaan sesi persekolahan, manakala baki pembayaran dibuat pada Mac bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Post a Comment

0 Comments